Lebih 500 operasi, 2,000 tangkapan sejak KL Strike Force ditubuh, kata menteri

Lebih 500 operasi, 2,000 tangkapan sejak KL Strike Force ditubuh, kata menteri

Dr Zaliha Mustafa berkata pasukan itu proaktif dalam operasi terutama banteras aktiviti persundalan.

sarang pelacuran
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa mahu menukar ‘red-light district’ di KL kepada kawasan hijau iaitu bebas persundalan. (Gambar Facebook Imigresen)
KUALA LUMPUR:
Pasukan KL Strike Force telah menjalankan lebih 500 tindakan penguatkuasaan melibatkan lebih 2,000 tangkapan sejak ditubuhkan pada Mei lalu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, aktiviti penguatkuasaan melibatkan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan itu antaranya berkaitan isu pencerobohan tanah kerajaan, pendatang tanpa izin, dan persundalan.

Bagaimanapun, katanya pasukan itu tidak boleh lagi bertindak reaktif hanya berdasarkan aduan, sebaliknya perlu lebih proaktif dengan memikirkan langkah yang perlu dilaksanakan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

Zaliha berkata, terkait isu persundalan di ibu negara, mungkin Dolly di Surabaya, Indonesia boleh dijadikan sebagai contoh di mana kawasan yang dahulunya dikenali sebagai ‘red-light district’, kini diberi nafas baharu menjadi antara tempat tumpuan pelancongan antaranya menjadikan kawasan itu sebagai kawasan hijau.

“From ‘red to green’ (daripada kawasan merah kepada hijau). Ini kita akan laksanakan di Kuala Lumpur,” katanya dalam hantaran X selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan.

Dalam masa sama, Zaliha meminta Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) meneliti aspek perundangan, khususnya peraturan-peraturan yang lemah dan lapuk agar penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih komprehensif.

Menurutnya, beliau turut mendengar taklimat keselamatan mengenai Labuan daripada polis dan imigresen Labuan yang memaklumkan keadaan keselamatan di Wilayah Persekutuan itu sedang dipantau dengan baik.

Bagaimanapun, katanya terdapat beberapa cadangan yang perlu diteliti bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan penduduk Labuan secara keseluruhannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.