
Katanya, pihaknya menyerahkan kepada kerajaan negeri menentukan dasar masing-masing, mengulas seruan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mahu vape diharamkan kerajaan sepenuhnya.
“Saya kira kerajaan negeri perlu membuat keputusan masing-masing. Kita tidak dapat mengharamkan vape pada ketika itu, maka kita mengambil sikap untuk mengawal selia.
“Sebagai langkah pertama, pastinya kita ingin mengharamkan…tetapi jika tidak boleh diharamkan kita perlu mengawal selia. Kerajaan perpaduan tetap berpendirian bahawa kawal selia adalah pendekatan terbaik buat masa ini,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sambutan Minggu Kesedaran Antimikrob Sedunia 2024 di Putrajaya.
Dzulkefly menjelaskan, Akta 852 menyediakan kerangka perundangan yang lengkap untuk mengawal selia seluruh rantaian bekalan vape termasuk pendaftaran, penjualan, dan penghantaran.
“Keputusan kementerian untuk kawal selia melalui Akta 852 ini adalah satu langkah perundangan yang lengkap dan sempurna. Kita mengambil sikap untuk mengawal selia dan tidak mengharamkan vape secara menyeluruh,” katanya.
Semalam, Al-Sultan Abdullah menzahirkan kebimbangan punca utama golongan muda terjebak dalam ketagihan dadah secara langsung dan tidak langsung bermula penggunaan vape.
Titahnya, baginda akan menyuarakan kepada kerajaan supaya vape diharamkan secara total dan tidak perlu diberi pertimbangan sewajarnya.
Dilaporkan sebelum ini, Johor telah melaksanakan larangan menjual vape dan akan mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang menjualnya secara terbuka. Larangan penjualan itu diputuskan sejak 1 Jan 2016.