
Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, berkata tindakan itu sementara menunggu hasil siasatan dan pertuduhan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Katanya, mereka kembali bertugas berikutan tempoh tahan kerja berakhir pada 16 Okt lalu.
“Tindakan tahan kerja selama 30 hari dikenakan terhadap lima pegawai tersebut bawah peruntukan Peraturan 43, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 berkuat kuasa 17 Sept lalu, bagi memudah cara urusan siasatan.
“Skop fungsi dan pengoperasian jabatan ortopedik di hospital tersebut diteruskan seperti biasa bagi menyampaikan perkhidmatan kepakaran ortopedik kepada pesakit dengan dibantu oleh pegawai dari hospital berhampiran,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.
Dzulkefly menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang mahukan maklumat terkini status pegawai terbabit serta sistem pengurusan pada masa ini.
Sebelum ini, SPRM menahan 37 individu termasuk pegawai perubatan di Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung kartel memalsukan tuntutan hilang upaya Perkeso negeri itu.
Mereka adalah enam doktor perubatan, 19 pemohon, sembilan ejen, dan tiga ‘runner’.
Difahamkan, kartel itu aktif sejak 2017, terlibat pemalsuan tuntutan berjumlah RM2.1 juta berkait kecederaan tulang belakang dan ‘ligamen anterior cruciate’ (ACL).
Dikatakan, pemohon akan menerima 50% daripada jumlah tuntutan, manakala baki 50% dibahagi antara doktor, ejen, dan ‘runner’.