Budak perempuan maut dilanggar lari, pemandu lelaki ditahan

Budak perempuan maut dilanggar lari, pemandu lelaki ditahan

Dalam kejadian tular di Lebuhraya Bukit Jalil Jumaat lalu, motosikal dinaiki mangsa bersama ibu bapanya dilanggar kereta milik suspek yang dipandu laju.

kemalangan bukit jalil
Tangkap layar video tular yang menunjukkan motosikal dinaiki mangsa dirempuh oleh sebuah kereta dalam kejadian di Lebuhraya Bukit Jalil.
KUALA LUMPUR:
Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dengan kejadian langgar lari hingga menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan maut manakala ibu bapanya cedera di Lebuhraya Bukit Jalil di sini Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata pemandu berusia 31 tahun itu ditahan ketika hadir di JSPT Kuala Lumpur hari ini untuk memberi keterangan.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 9.50 malam itu, tiga beranak tersebut terjatuh di atas jalan raya selepas motosikal jenis Honda Beat ditunggang mereka dilanggar kereta milik suspek.

“Ketiga-tiga mangsa kemudian dihantar ke hospital oleh orang awam dan anak mangsa berumur tujuh tahun meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, tular di Facebook video rakaman kamera papan pemuka sebuah kereta berdurasi 28 saat dengan kapsyen mendakwa kereta itu berhenti seketika kemudian membuat pusingan U dan beredar selepas kejadian berlaku.

Rakaman itu, memaparkan kereta jenis BMW 5 Series yang dipandu laju telah merempuh sebuah motosikal sebelum berhenti agak jauh dari kawasan insiden.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.