
Nur Arina Azizan, 20, dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika beriadah bersama ibu, adik perempuan dan dua sepupunya pada 2.30 petang semalam.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa dan tiga ahli keluarga lain menyusuri sungai, sebelum pelampung yang digunakan mangsa terpisah daripada ahli keluarga lain.
Tindakan mangsa turun dari pelampung menyebabkan dia dihanyutkan arus deras dan ibunya cuba membantu tetapi turut dibawa arus sebelum diselamatkan penduduk kampung.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata radius SAR diperluaskan sehingga 16km meliputi Sungai Air Beruk dan Sungai Rui, dengan enam bot serta 12 kayak digunakan untuk pencarian permukaan dan “skin dive”.
“Pasukan menjalankan kerja mencari dengan menyusuri kedua-dua sungai tersebut serta memfokuskan kawasan kayu dan pokok tumbang yang menjadi antara lokasi mangsa mungkin tersangkut,” katanya menurut Sinar Harian di pos kawalan tempat kejadian di Kampung Padang Stang, Gerik.
Beliau berkata, kekuatan anggota bomba akan ditambah esok dengan memfokuskan pencarian di Sungai Rui.
Menurutnya, arus deras di Sungai Air Beruk dan air keruh di Sungai Rui antara kesukaran dihadapi pasukan SAR, selain risiko air berpusar yang menyukarkan akses.
Katanya, khidmat unit anjing pengesan (K9) turut digunakan dalam operasi SAR yang ditangguhkan sekitar 6.30 petang tadi dan akan disambung 8 pagi esok.