Sabah Mineral dakwa bekas CEO langgar kewajipan, fraud

Sabah Mineral dakwa bekas CEO langgar kewajipan, fraud

Sabah Mineral Management dakwa siasatan dalaman mendapati Jontih Enggihon bertindak melampaui bidang tugas.

Sabah Mineral Management berkata Jontih Enggihon didakwa melakukan salah laku hasil dapatan siasatan dalaman. (Gambar PKINK)
PETALING JAYA:
Sabah Mineral Management (SMM) Sdn Bhd mendakwa bekas ketua pegawai eksekutif, Jontih Enggihon, melanggar kewajipan fidusiari, fraud, dan salah laku, dengan laporan telah dibuat kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pegawai Eksekutif SMM, Natasha Sim, berkata kesalahan Jontih yang didakwa itu dikenal pasti susulan siasatan menyeluruh terhadap hal ehwalnya ketika memegang jawatan tersebut.

Dalam kenyataan, beliau mendakwa ia termasuk pelanggaran kewajipan fidusiari, aktiviti fraud, salah nyata kepada Lembaga Pengarah SMM, dan salah laku.

“Siasatan berkenaan mengenal pasti beberapa dapatan di mana Jontih bertindak melampaui bidang kuasanya dengan tindakan bertujuan untuk memanfaatkan entiti berpotensi cetus konflik kepentingan, bersekongkol dengan pihak ketiga mewakili kartel berkepentingan.

Natasha Sim.

“Tindakan sedemikian dilakukan tanpa pengetahuan atau kelulusan lembaga pengarah, yang merupakan pelanggaran serius terhadap dasar syarikat dan piawaian tadbir urus,” katanya.

Sim berkata, syarikat milik kerajaan negeri itu telah mengadakan pertemuan dengan barisan peguam bagi meneliti pemfailan saman sivil terhadap Jontih ke atas sebarang kerugian kewangan atau kerosakan reputasi dialami firma terbabit.

Beliau menegaskan, SMM kekal komited menjunjung tadbir urus baik, ketelusan, dan kebertanggungjawaban dalam operasinya, termasuk mempertahankan kepentingan rakyat Sabah serta pemegang taruh.

“Pihak syarikat tidak akan bertolak ansur ke atas sebarang bentuk salah laku yang menjejaskan integriti operasinya. SMM bekerjasama penuh dengan SPRM dan polis dalam siasatan mereka.”

Katanya, SMM mengeluarkan kenyataan bagi memberi maklum kepada pemegang taruh berkait tindakannya dan sebagai paparan komitmen terhadap pengurusan bertanggungjawab.

Laporan polis dan SPRM telah dibuat ke atas Jontih yang mendakwa dirinya berpakat dengan pemberi maklumat yang dikatakan itu, di sebalik pendedahan video mendakwa pembabitan beberapa Adun Sabah dengan rasuah.

Semalam, Jontih menafikan dakwaan tersebut dan mendakwa beliau tidak bertindak sebagai ‘orang tengah’ antara pemberi maklumat dikatakan itu dengan Adun terbabit, sambil menyatakan ‘itu penipuan sepenuhnya’.

Beliau mendakwa mempunyai bukti menyokong tuduhannya bahawa Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menyalahgunakan kuasa, dan mengatakan menyimpan pesanan teks daripada Hajiji, nota penerangan bercetak, dan minit mesyuarat Lembaga Pengarah SMM.

Setakat ini, SPRM telah memanggil lima Adun bagi rakaman percakapan.

Sebelum ini, Hajiji berkata sedia memberikan kerjasama penuh kepada SPRM, sambil menyatakan tiada apa hendak disembunyikan, namun turut menggesa individu yang merasuah Adun juga disiasat.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga berkata pemberi maklumat tidak boleh dilindungi jika individu itu terlibat rasuah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.