Pengusaha stesen harap kaedah salur subsidi RON95 tak rumit

Pengusaha stesen harap kaedah salur subsidi RON95 tak rumit

Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Stesen Minyak Bumiputera Malaysia berkata kekangan kemudahan digital dan kos naik taraf perlu ditampung harus diambil kira kerajaan.

Baru-baru ini, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata subsidi petrol RON95 mungkin disalurkan menggunakan MyKad. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kekangan kemudahan digital terutama di luar bandar mungkin boleh merumitkan pelaksanaan penyaluran subsidi petrol RON95 pada tahun depan, jika kerajaan memutuskan penggunaan MyKad, kata pengusaha stesen minyak.

Setiausaha Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (Bumipeda) Hanny Julia Haron berkata menerusi laporan media ada pelbagai cadangan termasuk menggunakan MyKad seperti disebut Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pada sidang Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Sementara itu, wujud juga cadangan oleh penganalisis supaya kuota bulanan subsidi itu dimasukkan dalam e-dompet bagi memudahkan proses pemantauan.

Menurut Hanny, dua kaedah itu pastinya memerlukan pembangunan sistem khas terutama dalam menentukan penerima layak dan membabitkan kemudahan digital yang kemudahan di luar bandar masih belum stabil.

“Ini boleh merumitkan operasi stesen minyak di sana…tambahan pula kos naik taraf sistem mungkin mahal serta memerlukan masa untuk kajian menyeluruh sebelum pelaksanaan.

“Semua faktor ini perlu dipertimbangkan supaya pelaksanaan mekanisme ini tidak menambah beban dan merumitkan operasi, terutama di kawasan kurang mendapat akses kepada kemudahan digital,” katanya kepada FMT.

Mengulas lanjut, Hanny berkata Bumipeda mencadangkan sistem satu harga dilaksanakan dengan bantuan kewangan disalurkan terus kepada penerima subsidi layak.

“Kita berharap juga kerajaan dapat mengadakan segera sesi libat urus dengan pengusaha stesen minyak yang menjadi pemegang taruh pelaksanaan penyasaran subsidi RON95.”

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 secara berperingkat pada pertengahan tahun depan dengan penjimatan daripanya digunakan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.

Beliau berkata 85% rakyat akan terus mendapat manfaat daripada subsidi kerajaan untuk 2025 yang dianggarkan berjumlah RM12 bilion.

Menerusi penyasaran subsidi diesel bermula Jun lalu, kerajaan menggunakan mekanisme pindahan tunai RM200 setiap bulan kepada pemilik kenderaan layak termasuk persendirian dan pekebun kecil di bawah skim Budi Madani.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.