Pemandu lori kontena hempap kereta mengaku tidak bersalah

Pemandu lori kontena hempap kereta mengaku tidak bersalah

Mahkamah tidak beri jaminan terhadap Marhizan Johari selepas pendakwaan berhujah tertuduh tidak menunjukkan rasa menyesal.

Marhizan Johari
Marhizan Johari (baju ungu) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas pertuduhan memandu secara berbahaya dan menyebabkan kematian wanita berusia 21 tahun selepas dihempap kontena dibawa kenderaannya.
BUKIT MERTAJAM:
Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas pertuduhan memandu secara berbahaya dan menyebabkan kematian seorang wanita berusia 21 tahun selepas dihempap kontena dibawa kenderaannya.

Tertuduh, Marhizan Johari, 51, dari Kangar, Perlis, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Harith Mazlan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memandu secara berbahaya dan menyebabkan kematian Lee Zi Rou di Jalan Kebun Sireh pada 9.16 pagi, 13 Nov lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 10 tahun, denda maksimum RM50,000 dan penggantungan lesen memandu selama lima tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zulfadzly Hassan yang mengendalikan pendakwaan meminta mahkamah menafikan jaminan terhadap tertuduh selepas dia menunjukkan tanda ‘peace’ ketika direman.

Beliau berkata, ia menunjukkan tertuduh tidak berasa insaf dan gambarnya menunjukkan tanda ‘peace’ telah mencetuskan kemarahan orang ramai.

Majistret Harith Mazlan tidak memberikan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 24 Jan depan untuk menerima laporan Puspakom, perubatan dan bedah siasat.

Marhizan tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.