Lelaki Myanmar palsu kad UNHCR dipenjara 5 tahun

Lelaki Myanmar palsu kad UNHCR dipenjara 5 tahun

Mahkamah Sesyen juga menjatuhkan hukuman denda RM30,000 terhadap Rezouddin Shamshuddin yang mengaku bersalah atas tuduhan itu.

Penjara
Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara dan denda RM30,000 terhadap warga Myanmar Rezouddin Shamshuddin yang mengaku bersalah memalsukan kad UNHCR September lepas. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Seorang lelaki warga Myanmar dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen kerana memalsukan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) September lepas.

Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu selepas Rezouddin Shamshuddin, 31, mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan, dan penjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, penganggur itu memalsukan sekeping kad UNHCR atas nama Humairah Nobi Husseim dengan tujuan untuk menipu di sebuah pangsapuri di Sentul antara 18 hingga 26 Sept.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Mengikut fakta kes, pada 25 Sept pukul 12.40 tengah hari, pengadu iaitu pegawai kanan polis yang bertugas di Bahagian E3 Cawangan Khas Bukit Aman bersama pegawai dan anggota membuat tangkapan bersama bungkusan yang mengandungi kad UNHCR palsu.

Polis menahan lelaki itu di rumah sewanya, dan hasil serbuan membawa kepada penemuan pelbagai peralatan yang digunakan untuk memproses kad UNHCR palsu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya R Harvind memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran atas alasan kes berkenaan adalah serius kerana melibatkan isu keselamatan negara.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman rendah atas alasan menanggung keluarga iaitu isteri dan bayi berusia 11 bulan yang berada di Myanmar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.