‘Kenang Daim bantu capai masa depan lebih cerah untuk semua’

‘Kenang Daim bantu capai masa depan lebih cerah untuk semua’

Keluarga bekas menteri kewangan berkata Daim Zainuddin tidak simpan dendam kepada mereka yang menolak usahanya dan memaafkan tanpa kata-kata.

Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin yang meninggal dunia 13 Nov lalu sentiasa berpesan kekuatan negara terletak kepada kepelbagaian, perpaduan, usaha gigih dan keyakinan yang utuh. (Gambar KLBC)
PETALING JAYA:
Keluarga Daim Zainuddin berharap rakyat akan mengingati segala jasa bekas menteri kewangan itu walau sekecil mana pun telah membantu mencapai masa depan lebih cerah untuk semua.

Dalam kenyataan, keluarga Daim berkata Allahyarham sentiasa berpesan bahawa kekuatan negara terletak kepada kepelbagaian, perpaduan, usaha gigih dan keyakinan yang utuh bahawa kita boleh bersama mencapai kegemilangan.

Menggambarkan pencapaian Daim, anak watan dari kampung halamannya di Alor Setar, Kedah, sebagai amat membanggakan, keluarganya berkata jasa dicurahkan beliau atas semangat untuk berbakti kepada agama, bangsa, dan negara yang dicintainya.

“Sehingga ke akhir hayatnya, beliau kekal yakin kepada potensi negara ini, untuk menjadikan Malaysia lebih adil, makmur, inklusif dan bersatu.

“Beliau mengabdikan hidupnya ke arah matlamat memajukan, membangunkan dan memperkasakan ekonomi. Baginya, kehebatan yang hakiki bukan terletak pada kuasa, tetapi pada usaha gigih yang tidak mengharapkan balasan,” kata kenyataan itu.

Daim yang juga bekas bendahari agung Umno meninggal dunia ketika menerima rawatan di sebuah hospital swasta 13 Nov lalu pada usia 86 tahun.

Beliau pernah menjawat jawatan menteri kewangan dari 1984 hingga 1991, dan kali kedua pada 1999 hingga 2001 serta memainkan peranan penting dalam menguruskan ekonomi dan melaksanakan pelarasan struktur serta membantu negara menempuh krisis kewangan Asia.

Awal tahun ini, Daim dan isteri Naimah Khalid didakwa di mahkamah atas tuduhan gagal mematuhi terma notis perisytiharan harta dikeluarkan bawah Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Menurut kenyataan itu lagi, keluarganya berkata Daim tidak menyimpan dendam kepada mereka yang menolak usahanya, dan memaafkan tanpa kata-kata.

“Beliau menyerahkan segala-galanya kepada sejarah untuk menghakiminya,” kata kenyataan itu.

Keluarga Daim turut mengucapkan terima kasih kepada yang pernah bekerja, sentiasa mendampingi, berkawan, menyokong dan mempercayai visi sepanjang kehidupan beliau.

“Kami terhutang budi kerana andalah yang memperkayakan perjalanan hidupnya. Beliau amat menghargai ikatan persahabatan yang dijalinkan sama ada di dalam atau luar negara.

“Sering kali beliau bercakap mengenai anda dengan penuh rasa syukur, kerana sedar yang kejayaan tidak mungkin dicapai berseorangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.