CAAM larang guna bagasi pintar di apron lapangan terbang

CAAM larang guna bagasi pintar di apron lapangan terbang

CAAM berkata walaupun bagasi pintar boleh ditunggang itu menawarkan kemudahan kepada penumpang namun penggunaannya seperti di apron boleh menimbulkan risiko keselamatan.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam berkata bagasi pintar dilengkapi motor elektrik perlu dinyahaktifkan sepenuhnya, termasuk komponen bateri sebelum dibawa masuk ke kawasan apron lapangan terbang. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) mengeluarkan arahan keselamatan melarang penggunaan bagasi pintar atau “skuter” sebagai mod pengangkutan di kawasan apron lapangan terbang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Norazman Mahmud dalam arahan keselamatan bertarikh 15 Nov, berkata walaupun bagasi pintar yang boleh ditunggang itu menawarkan kemudahan kepada penumpang, namun penggunaannya seperti di apron boleh menimbulkan risiko keselamatan.

Beliau berkata, terdapat jentera berat, pesawat, kenderaan perkhidmatan darat dan petugas kawasan itu, sekali gus memerlukan pematuhan ketat terhadap peraturan keselamatan untuk mengelakkan kemalangan serta kerosakan peralatan.

“Untuk mengurangkan risiko kemalangan dan meningkatkan keselamatan lapangan terbang, penting untuk melarang sepenuhnya penggunaan bagasi pintar di kawasan larangan, menetapkan had laju di zon dibenarkan dan mendidik penumpang serta petugas tentang amalan penggunaan selamat.”

Sehubungan itu, Norazman berkata, penggunaan bagasi pintar tidak dibenarkan melebihi kawasan tertentu seperti ruang terminal dan zon menunggu, selain papan tanda larangan perlu dipasang untuk memaklumkan pengguna.

Menurutnya, bagasi pintar dilengkapi motor elektrik perlu dinyahaktifkan sepenuhnya, termasuk komponen bateri sebelum dibawa masuk ke kawasan apron.

Petugas di lapangan perlu dilatih mengenal pasti bagasi pintar boleh ditunggang dan melaksanakan protokol keselamatan untuk mengendalikannya, termasuk melaporkan segera sebarang penggunaan di kawasan apron kepada pengendali lapangan terbang atau pekerja keselamatan.

“Penyedia perkhidmatan pengendalian darat perlu memastikan semua petugas mengetahui prosedur betul untuk memuat, menyimpan dan mengangkut bagasi pintar, terutamanya jika ia mengandungi bateri litium atau komponen elektrik lain yang mungkin menimbulkan risiko keselamatan.”

Syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang juga dinasihat memaklumkan arahan keselamatan itu menerusi pengumuman prapenerbangan, termasuk di tiket.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.