Surat palsu guna nama TPM: Pengawal keselamatan ditahan

Surat palsu guna nama TPM: Pengawal keselamatan ditahan

Siasatan dapati lelaki itu tawar pelbagai jenis pekerjaan di pejabat kerajaan persekutuan kepada beberapa orang rakan pada hujung Oktober.

Suspek disyaki punyai kaitan dengan kes surat tawaran kerja guna nama TPM mengaku buat tawaran bagi mendapatkan perhatian rakan-rakan, menurut polis. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang pengawal keselamatan yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes surat tawaran kerja palsu menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof ditahan semalam, di pondok pengawal sebuah premis kerajaan di Samarahan, Sarawak.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata lelaki berusia 32 tahun itu ditahan pada 12.45 tengah hari, serta merampas dua unit telefon bimbit daripadanya.

Tangkapan dibuat berikutan laporan polis oleh seorang lelaki pada 15 Oktober lepas, mendakwa menerima surat tawaran kerja daripada lelaki terbabit yang mendakwa sebagai pegawai setiausaha pejabat di pejabat TPM.

“Siasatan awal mendapati pengadu mengenali suspek pada Julai lepas dan mendakwa dia (suspek) adalah pengiring rapat kepada TPM II.

“Disebabkan yakin dan percaya, pengadu menyerahkan dokumen peribadi sebelum suspek menyerahkan kepadanya dua surat iaitu perlantikan sebagai pegawai setiausaha pejabat dan permohonan kuarters kerajaan.

“Hasil semakan dengan rakan kakak pengadu mengesahkan bahawa kedua-dua surat berkenaan tidak wujud dan membuat laporan polis kerana rasa tertipu dan bimbang dokumen itu disalahgunakan dengan tujuan menyalahi undang-undang,” katanya ketika dihubungi.

Razarudin berkata siasatan mendapati lelaki itu menawarkan pelbagai jenis pekerjaan di pejabat kerajaan persekutuan kepada beberapa orang rakan termasuk pengadu pada hujung Oktober.

“Suspek mengaku membuat tawaran itu bagi mendapatkan perhatian rakan-rakannya yang kononnya mengenali ‘orang atasan’ yang boleh membantu mereka serta suka dilayan sebagai orang penting.

“Dia (suspek) juga mengatakan tidak menyalahgunakan butiran peribadi (dokumen peribadi) yang diterimanya serta tiada ganjaran yang diminta daripada rakan-rakannya (kerana membantu menawarkan pekerjaan),” katanya.

Razarudin berkata lelaki terbabit mengaku sudah memusnahkan surat tawaran kerja palsu itu menggunakan mesin pencincang kertas di tempat kerjanya, dan semakan telefon bimbit mendapati terdapat perbualan antara suspek dan pengadu berkenaan kes ini.

Siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan. Permohonan reman terhadap suspek dibuat hari ini.

Polis dilapor membuka kertas siasatan setelah seorang kakitangan awam di Kuching memaklumkan kepada Fadillah menerusi WhatsApp Khamis lepas bahawa dia terbaca dua surat rasmi Jabatan Perdana Menteri di pejabat agensi kerajaan di Kuching, Sarawak.

Surat berkenaan yang memetik nama Fadillah, menawarkan pelbagai jawatan dan kelulusan kuarters kerajaan yang disebarkan individu menyamar sebagai pegawai kepada Fadillah, namun tiada tandatangan Fadillah pada surat itu.

Fadillah dalam kenyataan Khamis lepas menafikan pihaknya mengeluarkan surat pelantikan individu sebagai pegawai di pejabatnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.