Kerajaan pusat mahu majukan aset tanah Kelantan dalam RMK13

Kerajaan pusat mahu majukan aset tanah Kelantan dalam RMK13

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata aset tanah luas boleh dibangunkan untuk industri makanan dan pertanian.

Rafizi Ramli berkata, kerajaan persekutuan berhasrat menjadikan tanah milik kerajaan negeri dan persendirian belum diteroka sebagai gedung makanan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan persekutuan berhasrat memanfaatkan aset tanah yang luas di Kelantan dengan merancang membangunkan banyak kilang berasaskan industri makanan dan pertanian.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, berkata ia ingin dilaksanakan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi menarik pelabur ke negeri itu.

“Di Kelantan, aset tanah yang ada bukan sahaja milik persendirian malah tanah kerajaan negeri juga masih banyak yang belum diterokai dan kita memikirkan cara aset-aset ini boleh dimanfaatkan.

“Kita berhasrat menjadikan tanah yang belum diterokai sebagai gedung makanan serta projek berasaskan makanan dan apabila ia berskala besar, baharulah kita boleh meyakinkan kilang-kilang yang berkaitan untuk berpindah ke Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian menurut Bernama pada sesi dialog mengenai Sesi 2 Libat Urus RMK13 bersama kerajaan Kelantan, di Kota Bharu.

Ahli Parlimen Pandan itu juga, berkata dalam tempoh lima hingga 15 tahun akan datang, kerajaan menjangkakan banyak peluang pekerjaan yang ada di Kelantan cenderung ke arah industri makanan dan pertanian.

Beliau berkata, perancangan perlu dilakukan bagi membangunkan tanah belum diterokai bagi membolehkan rakyat menambah pendapatan dengan bercucuk tanam.

“Pertanian ini boleh dijalankan secara moden, mampan, dan mendapat hasil yang baik, bukan bermusim,” katanya.

Rafizi berkata, antara pendekatan yang perlu diambil oleh kerajaan bagi menjayakan langkah itu ialah menyediakan bantuan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam bentuk baja, dana, serta modal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.