Perlu sentiasa kemas kini sempadan Malaysia, tegas TPM

Perlu sentiasa kemas kini sempadan Malaysia, tegas TPM

Fadillah Yusof kata kerajaan sedia bincang cadangan keluar peta baharu bagi perjelas sempadan maritim di Laut China Selatan.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof kata kerajaan perlu sentiasa kemas kini sempadan, di sebalik langkah Filipina meluluskan akta yang melanggar sempadan maritim Sabah. (Gambar Bernama)
ALOR GAJAH:
Kerajaan perlu sentiasa kemas kini sempadan negara bagi menegaskan kedaulatan Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof di sebalik bantahan terhadap langkah Filipina meluluskan akta yang melanggar sempadan maritim Sabah.

Menurutnya, kerajaan sedia membincangkan cadangan pakar undang-undang yang menyarankan kerajaan mengeluarkan peta baharu bagi memperjelaskan sempadan maritim Malaysia di Laut China Selatan.

Putrajaya kelmarin menghantar nota bantahan kepada Manila kerana meluluskan dua akta yang turut menyentuh soal tuntutan terhadap Sabah, dalam usaha ia menuntut hak maritim serta kedaulatan ke atas kawasan dipertikaikan di Laut China Selatan.

“Kita akan bawa dan bincangkan dan kalau belum, memang perlu dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas majlis serah projek Jabatan Pengairan dan Saliran kepada kerajaan Melaka petang tadi.

“Kita perlu sentiasa kemas kini sempadan kita sebab ini merupakan kedaulatan negara kita.”

Kali terakhir kerajaan mengeluarkan peta maritim Malaysia adalah pada 1979, menurut pakar undang-undang maritim antarabangsa, Mohd Hazmi Mohd Rusli dari Universiti Sains Islam Malaysia, yang membuat cadangan tersebut di sebalik nota bantahan Putrajaya kepada Manila.

Katanya kepada Beritan Harian, nota bantahan tidak mencukupi untuk menunjukkan Malaysia tegas menghalang tuntutan berkenaan.

Pada 14 Nov lalu, Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin beritahu Dewan Rakyat bahawa Akta Zon Maritim Filipina dan Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina yang ditandatangani Presiden Ferdinand Marcos Jr pada 8 Nov melangkaui Peta Baharu Malaysia 1979.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.