PAC adakan prosiding projek loji rawatan kumbahan Bayan Baru

PAC adakan prosiding projek loji rawatan kumbahan Bayan Baru

PAC akan panggil Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan, jururunding dan kontraktor projek bagi merekodkan penjelasan serta keterangan.

Mas Ermieyati
PAC akan adakan prosiding berhubung isu EOT hingga mengakibatkan projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau Bayan Baru, Pulau Pinang (Fasa II) lewat lebih.
KUALA LUMPUR:
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan mengadakan prosiding berhubung isu lanjutan masa (EOT) sebanyak 10 kali hingga mengakibatkan projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau Bayan Baru, Pulau Pinang (Fasa II) lewat lebih enam tahun.

Pengerusi Mas Ermieyati Samsudin berkata prosiding yang diadakan di Parlimen pada Isnin ini akan memanggil Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Jabatan Perkhidmatan Pembetungan, jururunding dan kontraktor projek bagi merekodkan penjelasan serta keterangan susulan lawatan kerja PAC ke projek bernilai lebih RM256 juta itu pada Jumaat lepas.

“Lawatan kerja ini bagi meninjau masalah dihadapi projek ini yang di bawah prosiding Pengurusan Air Negara yang sedang disiasat oleh PAC serta memberikan gambaran sebenar dihadapi projek ini hingga mengakibatkan berlaku kelewatan sekali gus tidak dapat memberikan perkhidmatan yang sepatutnya kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata 11 ahli PAC menyertai lawatan kerja itu bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Air) Petra Mohd Rozuan Mohd Baba Sakri, Ketua Pengarah JPP Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Ketua Jabatan Perancangan dan Kejuruteraan Indah Water Konsortium Mohd Taufik Salleh dan pihak kontraktor pembinaan.

Mas Ermieyati turut menjelaskan PAC mengadakan empat prosiding antara Julai dan Oktober tahun ini selain mengadakan lawatan kerja ke Sandakan dan Tawau, Sabah pada 29 Okt dan 1 Nov lepas.

Dalam lawatan kerja ke Sandakan dan Tawau itu, beliau berkata PAC meninjau projek menaik taraf sistem bekalan air termasuk tangki simpanan Sandakan serta projek Skim Bekalan Air Tawau (Fasa III).

“Prosiding bagi kedua-dua projek ini diadakan di Kota Kinabalu dan saksi yang hadir adalah daripada Petra serta Jabatan Air Negeri Sabah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.