
GV Ride yang memulakan pra operasinya pada September dimiliki GV Car Ventures Sdn Bhd (GVV), antara 30 syarikat berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Ketua Pegawai Eksekutif GVV Kabeer Maand berkata aplikasi GV Ride sedia bersaing dengan pemain e-hailing terkemuka lain dalam memberikan alternatif perkhidmatan menerusi sistem bidaan fleksibel antara pengguna dan pemandu.
“Aplikasi ini menawarkan ciri-ciri seperti penjejakan masa nyata, tempahan perjalanan melalui bidaan harga dan pilihan pembayaran tanpa tunai.
“Ini akan memberikan kemudahan dan ketelusan kepada pengguna,” katanya pada majlis pelancaran GV Ride oleh Exco Pelaburan & Perdagangan, Pembangunan IKS & Wilayah Ekonomi Baharu, Mobiliti Selangor Ng Sze Han.
Turut hadir Pengarah Urusan GV Ride, Vincent Chew Hian Sern.

Turut diumumkan promosi tambang RM59 dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga pertengahan tahun depan.
Ng berkata pengenalan perkhidmatan e-panggilan itu dapat memberi tambah nilai kepada pengguna di Lembah Klang dan melengkapkan ekosistem pengangkutan awam.
“Di Selangor kita ada populasi penduduk paling tinggi iaitu kira-kira lebih 10 juta dan ini suatu pasaran yang besar dan sudah pastinya kita perlukan perkhidmatan lebih baik.
Pada majlis itu, GVV turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Zlata Resources Sdn Bhd untuk menyediakan perlindungan insurans kepada pemandunya manakala Sejamas World Sdn Bhd pula menawarkan bateri kereta percuma.
Network EV Sdn Bhd pula akan membekalkan port pengecasan kenderaan elektrik manakala Persatuan Pemandu e-hailing Utara (NeHDA) sebagai rakan sokongan di wilayah utara.
“Kini kita mempunyai 15,000 pemandu berdaftar yang disasarkan naik kepada 50,000 pemandu menjelang akhir tahun ini,” kata Kabeer yang turut menjelaskan potongan kadar komisen untuk pemandu aplikasi itu hanya 9% bagi setiap tempahan.
Beliau berkata GV Ride juga merancang memperkenalkan perkhidmatan e-hailing menggunakan kenderaan elektrik (EV) menjelang akhir tahun ini, antara inisiatif dan komitmen terhadap kelestarian alam sekitar.
Bagi tujuan itu pihaknya sedang berunding dengan pembekal dari China dengan 2,500 unit EV akan digunakan untuk fasa pertama dalam memenuhi keperluan pengguna.
Aplikasi GV Ride boleh dimuat turun melalui platform App Store dan Google Playstore.