Banduan tahanan rumah akan dipakaikan peranti pengesan

Banduan tahanan rumah akan dipakaikan peranti pengesan

Alat itu bertujuan untuk mengesan kedudukan banduan, kata menteri dalam negeri.

saifuddin
Menteri Saifuddin Nasution Ismail kata banduan tahanan rumah akan dipakaikan peranti untuk mengesan kedudukan.
PASIR MAS:
Banduan yang menjalani tahanan rumah akan dipakaikan alat peranti pengesan apabila Rang Undang-undang (RUU) akta baharu tahanan rumah yang dicadangkan diluluskan Parlimen, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Pemakaian alat itu bertujuan untuk mengesan kedudukan banduan yang sedang menjalani perintah di bawah akta terbabit.

“Undang-undang sedia ada ketika ini tidak mempunyai peruntukan yang membolehkan pesalah menjalani hukuman di tahanan rumah.

“Oleh itu, RUU akta baharu ini juga mampu membantu mengurangkan masalah kesesakan dalam penjara yang ketika ini sedang berlaku di penjara seluruh negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Santuni Madani Komisioner Jeneral Penjara di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Bunga.

Berdasarkan rekod, jumlah banduan di seluruh negara ketika ini mencecah 87,000 orang sedangkan kapasiti penjara hanya mampu menampung 74,000 orang.

“Oleh itu, kementerian saya menyasarkan 28,000 banduan menjalani tahanan reman di rumah apabila akta ini direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata RUU akta berkenaan hanya akan melibatkan pesalah yang berstatus tahanan reman dalam penjara dan tidak melibatkan pesalah yang terlibat jenayah berat seperti rogol atau dadah.

Saifuddin berkata Jemaah Menteri juga memberikan keputusan dasar untuk memulakan RUU akta itu dan kementeriannya akan mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.