
Hasnatul Adilah Hassan, 49, selaku pendeposit Simpan SSPN Plus dilindungi dengan manfaat perlindungan takaful berjumlah RM120,000 dan khairat kematian berjumlah RM6,000; dengan komitmen bulanan sebanyak RM20 bagi dua akaun yang dibuka untuk dua anaknya dan RM10 untuk caruman takaful.
Guru itu juga selaku pendeposit Simpan SSPN Prime mempunyai simpanan yang melayakkan beliau menerima manfaat perlindungan takaful berjumlah RM1,230.86 berserta khairat kematian berjumlah RM2,000.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Norliza Abdul Rahim, berharap penabungan dalam Simpan SSPN ini dapat meringankan beban kewangan waris pendeposit.
“Sememangnya nilai manfaat ini tidak dapat mengembalikan nyawa insan yang tersayang, namun dengan manfaat yang diterima dapat memastikan pendidikan anak-anak Allahyarhamah dapat diteruskan dan kelangsungan hidup mereka lebih terjamin.
“Sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi, PTPTN sentiasa komited memastikan aspek pendidikan terpelihara,” menurut kenyataan.
Replika kad manfaat perlindungan takaful dan khairat kematian Simpan SSPN diserahkan Norliza bersama Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh, ketika kunjungan ke kediaman waris di Masjid Tanah, Melaka semalam.
Hadir sama, Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar serta Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Melaka, Mas Anisah Ayu Othman.
PTPTN menyediakan dua produk simpanan iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat.
Simpan SSPN Prime ialah perlindungan takaful percuma secara ‘ringgit ke ringgit’ kepada pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke atas sekiranya berlaku kematian atau ilat kekal menyeluruh.
Simpan SSPN Plus pula menawarkan enam pakej simpanan yang terdiri daripada simpanan dan perlindungan takaful yang komprehensif, dengan komitmen bulanan serendah RM30 sebulan iaitu hanya RM1 sehari sahaja.
Maklumat lanjut berkenaan Simpan SSPN boleh diperoleh melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN.