Warga emas rentung rumah terbakar di Ranau

Warga emas rentung rumah terbakar di Ranau

Bomba berkata dalam kejadian pada awal pagi itu seorang anak mangsa dan dua cucunya turut melecur.

Mayat Wong Ling Ying, 74, ditemukan rentung di ruang tamu dipercayai terjatuh dari biliknya di tingkat atas selepas kediamannya di Kampung Muhibbah di Ranau, Sabah terbakar.
PETALING JAYA:
Seorang wanita warga emas rentung selepas dipercayai terperangkap dalam satu kebakaran membabitkan dua buah rumah di Kampung Muhibbah di Ranau, Sabah pada awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata dalam kejadian kira-kira 1.20 pagi itu, anak lelaki dan dua cucu mangsa turut melecur, lapor Harian Metro.

Mayat Wong Ling Ying, 74, ditemukan rentung di ruang tamu selepas dipercayai terjatuh dari biliknya di tingkat atas.

Difahamkan ketika kejadian, semua mangsa sedang tidur dan sebaik menyedari kebakaran, mereka cuba melarikan diri tetapi Wong terperangkap.

Anak mangsa berusia 48 tahun dan dua cucunya berusia sembilan dan 11 tahun pula berjaya menyelamatkan diri dengan melompat daripada tingkap rumah di bahagian atas.

Ridwan berkata kebakaran itu membabitkan dua rumah. Rumah pertama terbakar 99% manakala rumah kedua terbakar 50%.

“Turut terbakar dua Toyota Hilux dan Perodua Myvi,” katanya.

Katanya, semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.