Pengurus didakwa guna mesin cetak tanpa lesen, terbit bahan lucah

Pengurus didakwa guna mesin cetak tanpa lesen, terbit bahan lucah

Chin Chiang Swee yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Chin Chiang Swee
Pengurus syarikat Chin Chiang Swee didakwa menggunakan mesin cetak tanpa lesen daripada Kementerian Dalam Negeri di sebuah syarikat percetakan di Desa Tun Razak, Cheras 21 Jun lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang pengurus syarikat percetakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan menggunakan mesin cetak tanpa lesen dan menghasilkan penerbitan bahan lucah menggunakan mesin cetak, Jun lepas.

Chin Chiang Swee, 44, didakwa menggunakan mesin cetak tanpa lesen daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sebuah syarikat percetakan di Desa Tun Razak, Cheras pada 10 pagi, 21 Jun.

Pertuduhan mengikut Seksyen 3(4) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Chin juga didakwa menghasilkan penerbitan bahan lucah dengan menggunakan mesin cetak di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman serupa.

Pegawai Pendakwa daripada KDN Muhamad Aliff Zahril Mohd Azhar menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin manakala peguam Adam Haikal yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga.

Hakim Izralizam Sanusi membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 6 Jan 2025 untuk sebutan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.