
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Dr Jamalludin Ab Rahman, berkata harga ubat bukan semata-mata penentu kos rawatan pesakit.
Katanya, kos rawatan dipengaruhi oleh kadar harian wad, bahan pakai buang, bilangan lawatan doktor, lawatan jurupulih dan sebagainya.

“Kos perawatan yang semakin meningkat akan menyebabkan tidak ramai rakyat mampu menggunakan khidmat kesihatan swasta dan beralih kepada fasiliti kerajaan dan terus memberi tekanan kepada sumber yang makin terhad,” katanya kepada FMT.
Selasa lalu, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata fasiliti kesihatan swasta wajib memaparkan harga ubat mulai tahun depan bagi meningkatkan ketelusan dan harga tidak dinaikkan sewenang-wenang.
Katanya, inisiatif itu akan dilaksanakan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).
Sementara itu, Jamalludin berharap fasiliti kesihatan swasta lebih menitikberatkan kualiti perkhidmatan berbanding keuntungan.
Beliau berkata, paparan harga ubat boleh menjadikan panduan untuk pesakit memilih hospital dan klinik yang berkadaran dengan jumlah perlindungan insurans mereka.

“Lebih-lebih lagi jika mereka menggunakan wang simpanan sendiri. Masyarakat perlu juga dimaklumkan dengan hal tersebut supaya tiada salah faham,” katanya.
Senada dengan Jamalludin, Pakar Perunding Kesihatan Awam, Dr Lokman Hakim Sulaiman, juga berpandangan memperincikan harga ubat dan lain-lain perkhidmatan tidak akan dapat mengawal kos rawatan.
Beliau mempersoalkan adakah Kementerian Kesihatan mengetahui ‘harga patut’ bagi setiap perkhidmatan diberikan.
“Siapa nak semak setiap harga terperinci itu sama ada ada berpatutan atau tidak.
“Saya bukan pakar kewangan kesihatan, tetapi isu kos rawatan ini perlu ditangani lebih holistik dan komprehensif, bukan sekadar memperincikan kos rawatan,” katanya.