
Saksi pendakwaan ke-14 itu berkata, dia pergi ke tempat kejadian sebaik sahaja diberitahu ibunya bahawa rakannya (Zaharif) terlibat kemalangan.
“Saya lihat ramai orang sedang melihat Zaharif terbaring di tepi jalan. Pada waktu itu saya dengar ramai yang katakan ‘Zaharif dah takde, Zaharif dah takde’. Saya pergi ke tempat kejadian dan turut membantu payungkan Zaharif,” katanya.
Beliau berkata, tidak lama kemudian kenderaan polis sampai dan seorang lelaki yang berada di situ menyuruhnya dan kawannya pergi menunaikan solat Jumaat, seterusnya mereka ke rumah mangsa.
Remaja itu berkata demikian ketika membaca pernyataan saksinya di hadapan Hakim Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet pada perbicaraan kes pegawai kanan polis Mohd Nazri Abdul Razak, 45, yang didakwa membunuh Zaharif, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati, antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari pada 15 Dis 2023.
Sementara itu, saksi pendakwaan ke- 15 memberitahu mahkamah bahawa pada waktu pagi sebelum kejadian perlanggaran berlaku, Zaharif ada memaklumkan kepadanya bahawa ekzos motosikal berkenaan dipinjam daripada rakan mangsa.
Remaja lelaki itu juga berkata motosikal yang ditunggang oleh mangsa adalah milik rakannya yang lain.
Terdahulu, sewaktu pihak pendakwaan membaca ucapan pembukaan kes pada hari pertama perbicaraan terdapat 10 barang kes (ekshibit) antaranya sebuah kereta jenis Perodua Ativa dan motosikal Yamaha.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz bersama Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qin manakala Nazri diwakili peguam M Athimulan, Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.
Mahkamah menangguhkan perbicaraan ke 2 Dis ini.