KDNK suku ketiga Malaysia meningkat 5.3%

KDNK suku ketiga Malaysia meningkat 5.3%

BNM berkata pertumbuhan itu didorong aktiviti pelaburan memberangsangkan dan peningkatan eksport berterusan.

Abdul Rasheed Ghaffour n uzir mahidin
Gabenor Bank Negara Malaysia Abdul Rasheed Ghaffour (kanan) dan Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin (kiri) menunjukkan laporan prestasi ekonomi negara untuk suku ketiga tahun ini.
KUALA LUMPUR:
Malaysia mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh sebanyak 5.3% pada suku ketiga tahun ini, antaranya didorong aktiviti pelaburan yang memberangsangkan dan peningkatan eksport berterusan.

Gabenor Bank Negara Malaysia Abdul Rasheed Ghaffour berkata aktiviti pelaburan terus disokong perbelanjaan kukuh dalam struktur serta jentera dan peralatan (M&E).

Menurutnya, perbelanjaan isi rumah juga menunjukkan pertumbuhan positif berikutan keadaan pasaran pekerja yang stabil dan pelaksanaan dasar yang menyokong.

“Sektor eksport memainkan peranan penting dengan permintaan luaran yang semakin pulih dan limpahan positif daripada peningkatan kitaran teknologi global.

“Peningkatan eksport ini turut disertai oleh import yang berkembang pada kadar lebih pantas, didorong oleh keperluan barangan modal dan perantaraan untuk menyokong pelaburan serta perdagangan,” katanya pada sidang media.

Menurutnya, dari segi penawaran kebanyakan sektor terus menyokong pertumbuhan khususya peningkatan dalam sektor perkilangan yang didorong kelompok berorientasikan eksport.

“Bagaimanapun, pertumbuhan sebahagiannya diimbangi oleh aktiviti penyenggaraan dalam sektor perlombongan.

“Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, momentum pertumbuhan menjadi sederhana kepada 1.8% berbanding 2.9% pada suku kedua.

“Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2% bagi tiga suku pertama tahun 2024,” katanya.

Dari segi inflasi, Abdul Rasheed berkata kadarnya kekal stabil pada 1.9% seperti direkodkan pada suku kedua lalu.

“Inflasi lebih tinggi dicatatkan untuk diesel iaitu 5.3% dan 0.8% bagi insurans kenderaan yang diimbangi dengan pengurangan inflasi untuk makanan dan minuman pada kadar 1.6% khususnya makanan di luar rumah, bijirin, dan sayur-sayuran segar.

“Secara keseluruhan, bilangan item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan menurun kepada 38.9% pada suku ketiga tahun 2024,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.