Bank Negara unjur pertumbuhan KDNK 4%-5% biarpun berlaku perang Iran

Bank Negara unjur pertumbuhan KDNK 4%-5% biarpun berlaku perang Iran

Pengembangan pelaburan, perbelanjaan domestik yang kekal kukuh, kekuatan sektor pelancongan serta permintaan eksport yang tinggi dijangka sekali lagi menjadi pemacu utama tahun ini.

KL skyline
Gabenor BNM Abdul Rasheed Ghaffour berkata adalah penting bagi Malaysia memberi tumpuan kepada pengukuhan asas ekonomi serta penampan dasar dalam keadaan ketidaktentuan akibat konflik di Asia Barat. (Gambar Envato Elements)
KUALA LUMPUR:
Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4% hingga 5% pada 2026 di sebalik berlakunya konflik Iran, yang telah menyebabkan lonjakan harga minyak mentah serta krisis tenaga di beberapa negara.

Angka itu naik sedikit berbanding unjuran awal kerajaan iaitu pertumbuhan KDNK 4% hingga 4.5% bagi tahun ini.

Pengembangan pelaburan, perbelanjaan domestik yang kekal kukuh, kekuatan sektor pelancongan serta permintaan eksport yang tinggi—yang membantu memacu pertumbuhan KDNK 5.2% tahun lalu—dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan sekali lagi.

Dari segi eksport, bank pusat menjangkakan permintaan global akan terus mampan, khususnya bagi eksport elektrik dan elektronik.

Sektor pelancongan pula dijangka diperkukuh oleh ketibaan pelancong yang stabil susulan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, walaupun terdapat laporan pembatalan perjalanan sebagai kesan segera konflik di Timur Tengah.

Gabenor BNM Abdul Rasheed Ghaffour mengakui bahawa ketidaktentuan membentuk prospek bagi tahun mendatang, manakala konflik di Asia Barat menambah lagi unsur ketidakstabilan.

Beliau berkata tahap impak konflik tersebut bergantung kepada tempoh dan tahap keseriusannya.

“Dalam persekitaran ini, daya tahan domestik Malaysia serta struktur eksport yang pelbagai menyediakan asas kukuh untuk menghadapi cabaran luaran semasa.

“Kedudukan kita sebagai pengeksport bersih tenaga juga akan memberikan sedikit ketahanan terhadap peningkatan harga komoditi global,” katanya dalam laporan tahunan BNM 2025 yang dikeluarkan hari ini.

Rasheed berkata adalah penting bagi Malaysia untuk memberi tumpuan kepada pengukuhan asas ekonomi dan penampan dasar, sambil menambah bahawa reformasi yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu telah membantu ke arah itu.

Katanya, reformasi seperti subsidi petrol RON95 dan diesel secara bersasar adalah perlu bagi memastikan negara berkembang secara inklusif dan mampan.

“Laluan Malaysia untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi mesti dibina berasaskan kemakmuran bersama,” katanya.

“Kita mesti membina ekonomi yang mewujudkan pekerjaan bergaji lebih baik, menyokong isi rumah dan perniagaan, serta kekal berdaya tahan untuk dekad akan datang.”

Rasheed turut berkata BNM akan terus berwaspada sepanjang tahun bagi mengharungi cabaran yang mendatang.

“Kita sentiasa bersedia—seperti yang telah dilakukan dalam tempoh ketidaktentuan sebelum ini—untuk memastikan pasaran teratur dan mengurus risiko turun naik yang berlebihan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.