
Bernama melaporkan Ibrahim meninggal dunia akibat komplikasi pernafasan, pada 6.30 petang tadi di Hospital Pakar Damansara, Kuala Lumpur.
Ibrahim berkhidmat sebagai timbalan ketua menteri dari 1990 hingga 1995, ketika pentadbiran Koh Tsu Koon. Beliau ketika itu merupakan Adun Seberang Jaya.
Anaknya, Zairil Ayu, berkata Ibrahim mengalami serangan jantung dan menerima rawatan di hospital berkenaan sejak dua minggu lepas.
“Selepas keluar dari hospital baru-baru ini, beliau kelihatan beransur baik namun semalam beliau mengadu sakit sukar bernafas semasa di rumah di Taman Tun Dr Ismail sebelum dibawa ke hospital.
“Beliau cuba diselamatkan tetapi tidak sempat,” katanya menurut agensi berita itu.
Ibrahim pernah menjadi Ahli Parlimen Tasek Gelugor dan memimpin Umno Bukit Mertajam.
Ketua Umno Pulau Pinang Musa Sheikh Fadzir, yang pernah menjadi timbalan beliau di Umno Bukit Mertajam, menyuarakan dukacita atas pemergian ini.
Ditemui di tepian acara MIC di George Town, Musa berkata Ibrahim antara ahli politik penting dalam membantu kemajuan orang Melayu di Pulau Pinang, dalam tempoh beliau berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Sementara itu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow kenang Ibrahim sebagai seorang pembahas yang baik dan berpengetahuan dalam isu politik, sosial dan ekonomi.
“Beliau merupakan timbalan ketua menteri I pada 1990 ketika saya terpilih sebagai Adun pada tahun itu. Seorang ahli politik yang berpengaruh dan dihormati akar umbi,” katanya kepada FMT.