
Bagaimanapun, beliau yang juga menteri komunikasi berkata tiada sebarang keputusan dibuat mengenai cadangan itu setakat ini.
“Saya sahkan waktu ini tidak ada keputusan…yang ada hanyalah perbincangan. Jadi belum ada kata putus,” katanya yang juga jurucakap kerajaan pada sidang media mingguan, hari ini.
Semalam, FMT melaporkan seorang ketua cabang PKR didakwa menghantar surat kepada rakan sejawat untuk bersatu menentang cadangan menukar mekanisme pengundian itu.
Difahamkan, cadangan itu dibangkitkan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bulan lalu.
Dalam surat tidak bertarikh dilihat FMT, seorang ketua cabang mendakwa cadangan itu akan mengehadkan hak mengundi ahli, menjurus penurunan sokongan akar umbi, sekali gus berupaya untuk mereka beralih sokongan kepada parti lain pada PRU kelak.
Fahmi menjelaskan, PKR sentiasa mendukung hasrat memastikan semangat asal penubuhannya iaitu mewakili suara semua rakyat terpelihara.
“Ini akan menjadi salah satu prinsip yang kita pegang dalam mempertimbangkan sebarang perkara ke depan,” katanya.
PKR dijangka mengadakan pemilihan parti Mei tahun depan.