Terima wang bina rumah RM100,000, pesara tentera didenda RM150,000

Terima wang bina rumah RM100,000, pesara tentera didenda RM150,000

Bekas tentera berpangkat mejar jeneral itu boleh dikenakan penjara enam bulan jika gagal bayar denda.

Zainal Abdul Manaf, 61, mengaku salah menerima RM100,000 bagi bayaran pembinaan rumah pada 2022 ketika berkhidmat sebagai asisten ketua staf material. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen memerintahkan seorang pesara tentera udara berpangkat mejar jeneral menjelaskan denda RM150,000 selepas mengaku bersalah menerima RM100,000 bagi bayaran pembinaan rumah, dua tahun lalu.

Hakim Suzana Hussin juga memerintahkan Zainal Abdul Manaf, 61, dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda, selain menasihati tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan itu dan benar-benar insaf terhadap perbuatannya.

Zainal didakwa menerima pembayaran pembinaan rumah bernilai RM100,000 tanpa balasan daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan tugas rasmi tertuduh yang semasa itu memegang jawatan sebagai asisten ketua staf material tentera udara, Kementerian Pertahanan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Wangsa Maju pada 15 Mac 2022 dengan pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Aznika Mohd Anas memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal untuk dijadikan pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh, tetapi juga bagi masyarakat.

“Tertuduh bukan berpangkat biasa dalam tentera udara sebaliknya asisten ketua staf material yang merupakan antara pangkat tertinggi dalam tentera udara. Oleh itu, pendakwaan mohon hukuman setimpal terhadap tertuduh,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Wafa Shalehah Helmy yang mewakili tertuduh berkata anak guamnya kini bergantung pada pencen bagi menampung perbelanjaan bulanan selain menghidap penyakit darah tinggi, manakala isterinya merupakan pesakit diabetes.

“Kami memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda yang tidak terlampau tinggi kerana usia anak guam telah mengehadkannya untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi membayar denda,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.