
Hakim Vazeer Alam Mydin Meera, berkata Seksyen 91(1)(b)(bb) Akta Pengangkutan Jalan melindungi mangsa kemalangan pihak ketiga menaiki kenderaan bermotor yang diinsuranskan bagi urusan kerja.
“Mana-mana penumpang yang melakukan perjalanan mengikut pekerjaannya seperti dihasratkan oleh Parlimen sebagai ‘pihak ketiga’ yang dilindungi Akta Pengangkutan Jalan,” kata hakim itu.
Vazeer bersama dua lagi panel hakim mencapai keputusan sebulat suara membenarkan rayuan Chen Boon Kwee terhadap keputusan Mahkamah Rayuan memihak Berjaya Sompo Insurance Berhad.
Chen, penumpang kereta Toyota Camry dimiliki isterinya, Tan Saw Kheng, yang dipandu Masri Tamin, mengalami kecederaan dalam nahas jalan raya pada 2015.
Beliau mendapatkan penghakiman terhadap Masri dan Tan di Mahkamah Sesyen Batu Pahat lima tahun lalu dan mahu menguatkuasakannya ke atas Berjaya Sompo, iaitu penanggung insurans kenderaan itu di bawah polisi insurans motor berisiko pihak ketiga.
Berjaya Sompo berusaha menafikan liabiliti dalam penghakiman atas alasan polisi itu tidak melindungi ahli isi rumah pemilik kenderaan.
Vazeer menolak apa disuarakan penanggung insurans, menegaskan Seksyen 91(1)(b) melindungi mangsa kemalangan pihak ketiga yang melakukan perjalanan atas urusan kerja.
Turut bersidang Hakim Zabariah Yusof dan Hanipah Farikullah.
Panel dipengerusikan Zabariah memerintahkan kos RM150,000 kepada Chen.
Pada 2019, Mahkamah Sesyen menganugerahkan ganti rugi RM200,000 kepada Chen selepas mendakwa Masri bertanggungjawab sepenuhnya atas kemalangan itu. Mahkamah juga mendapati Tan bertanggungjawab sebagai wakil atas kapasitinya sebagai pemilik kereta itu.
Penghakiman dikekalkan Mahkamah Tinggi.
Berjaya Sompo kemudian memfailkan tindakan berasingan di Mahkamah Tinggi memohon pengisytiharan Chen bertanggungjawab memfailkan saman pemulihan bahawa dia dilindungi di bawah polisi sebelum penghakiman dikuatkuasakan terhadap syarikat itu.
Kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan memihak kepada penanggung insurans, menjurus kepada rayuan terbaru yang menyaksikan keputusan diterbalikkan.
Peguam GK Ganesan, R Ganavathy Naidu, KN Geetha, dan Aloysius Ng mewakili Chen, manakala JS Naicker dan Rosmaria Daud mewakili syarikat insurans itu.