Permintaan tenaga buruh catat bilangan tertinggi

Permintaan tenaga buruh catat bilangan tertinggi

Permintaan bagi suku ketiga tahun ini menyaksikan penawaran sebanyak 9.01 juta jawatan.

car factory
Menurut Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin, terdapat 191,800 kekosongan jawatan ditawarkan dalam sektor ekonomi pada suku tahun ini, dengan peningkatan sebanyak 0.4%.
PUTRAJAYA:
Permintaan tenaga buruh pada suku ketiga tahun ini mencatatkan bilangan tertinggi sejak kali terakhir direkodkan pada 2018, iaitu dengan penawaran sebanyak 9.01 juta jawatan, menurut Statistik Guna Tenaga Suku Tahun Ketiga 2024.

Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin, berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan berterusan jumlah jawatan sebanyak 1.2% tahun ke tahun.

“Perkara ini selari dengan kadar pengangguran perlahan sebanyak 3.2% seperti yang dilaporkan dalam Statistik Tenaga Buruh Suku Tahun Ketiga 2024.

“Statistik yang diterbitkan dalam laporan ini berdasarkan Survei Guna Tenaga yang dilaksanakan terhadap syarikat perniagaan berdaftar dalam sektor swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata laporan itu turut menunjukkan bilangan jawatan diisi meningkat sebanyak 1.2% dengan mencapai 8.82 juta jawatan berbanding 8.71 juta bagi tempoh sama pada 2023.

Uzir berkata trend peningkatan yang konsisten bagi bilangan jawatan diisi itu menggambarkan perkembangan yang berterusan dalam ekonomi semasa.

“Kestabilan ini juga digambarkan dengan pertumbuhan positif tahun ke tahun jawatan diisi bagi semua sektor ekonomi,” katanya.

Memperincikan jawatan diisi, beliau berkata sektor pertanian mencatatkan pertumbuhan tertinggi pada kadar 1.8% diikuti sektor perkhidmatan sebanyak 1.6% dan sektor pembuatan sebanyak 1.0%.

Beliau berkata sektor perkhidmatan mendahului dengan 4.65 juta jawatan diikuti sektor pembuatan sebanyak 2.38 juta jawatan dan sektor pembinaan sejumlah 1.24 juta jawatan.

Mengenai kekosongan jawatan yang ditawarkan, Uzir berkata terdapat 191,800 kekosongan jawatan ditawarkan dalam sektor ekonomi pada suku tahun ini, dengan peningkatan sebanyak 0.4% berbanding 190,900 kekosongan jawatan pada suku tahun ketiga 2023.

Uzir berkata laporan itu juga menunjukkan Malaysia merekodkan 31,800 jawatan baharu untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada pelbagai sektor ekonomi, namun menurun sedikit berbanding 32,000 kekosongan jawatan pada suku yang sama tahun lepas.

Beliau berkata terdapat peningkatan sebanyak 2.9% dalam bilangan penduduk bekerja dengan kenaikan sebanyak 1.7% tahun ke tahun dalam sektor perkhidmatan dan menyifatkan situasi itu selari dengan perkembangan aktiviti ekonomi yang mendorong kepada momentum positif itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.