
Keputusan penting itu dipersetujui pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan (JTBPP) Negeri Sabah.
Kementerian memaklumkan mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Menteri Fadhlina Sidek dan Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi Sabah Mohd Arifin Mohd Arif di Putrajaya, pada Selasa.
Selain itu, mesyuarat juga bersetuju memasukkan citra Sabah dalam kurikulum dan dasar pendidikan negara serta satu tuntutan baharu dikemukakan kerajaan Sabah berkaitan fleksibiliti dan autonomi dalam penggunaan peruntukan bencana berdasarkan keperluan sebenar atau kesegeraan.
“KPM bersetuju dengan tuntutan ini dan akan menambah baik prosedur pengendalian standard (SOP) sedia ada untuk perolehan kecemasan bagi menentukan peruntukan serta kaedah perolehan. Ini dapat membantu penyelesaian segera ketika bencana dan mengatasi isu-isu berbangkit,” katanya menurut Bernama.
Kenyataan itu juga menyebut KPM meluluskan lima tuntutan tambahan dikemukakan kerajaan negeri itu seperti yang telah diluluskan kepada kerajaan Sarawak, iaitu melibatkan perancangan projek, perkongsian maklumat mengenai perpindahan pegawai kanan jabatan pendidikan negeri (JPN) ke ibu pejabat KPM dan perkongsian data pendidikan.
Pada Ogos lalu, media tempatan Sabah melaporkan Arifin sebagai berkata, kerajaan negeri mencadangkan citra sejarah Sabah dimasukkan dalam kurikulum sekolah bagi membolehkan pelajar menghayati fakta sebenar sejarah Negeri di Bawah Bayu itu.