
Nanta berkata, walaupun Kementerian Kewangan mempunyai kuasa mutlak memilih syarikat melaksanakan projek itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) selaku kementerian bertanggungjawab telah melakukan semakan dan perbincangan awal dengan Jabatan Kerja Raya Sabah selepas menerima senarai syarikat yang dibawa oleh agensi itu.
“Apabila kita terima senarai daripada JKR Sabah, kita semak semula dan kita juga ada kuasa untuk bagi pandangan sebelum dihantar ke Kementerian Kewangan,” katanya selepas menghadiri program Hari Komuniti MyPLUS di SK Hicom hari ini.
“Kementerian Kewangan sudah beri balik keputusan mereka dan kita (KKR) sudah arahkan JKR Sabah mengeluarkan surat setuju terima kepada mereka yang terpilih
Nanta berkata demikian ketika mengulas isu penganugerahan tender projek berkenaan kepada syarikat yang didakwa tidak dinilai.
Pada sidang Dewan Rakyat semalam, beberapa Ahli Parlimen membangkitkan perkara tersebut kepada Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan, mendakwa tender Projek Pan Borneo oleh Kementerian Kewangan diberikan kepada syarikat yang tidak dinilai.
Mereka turut meminta penganugerahan tender kepada syarikat terbabit ditarik balik.
Nanta berkata, semua pihak terlibat telah melalui prosedur yang ditetapkan sepanjang proses penganugerahan tender itu dan pihaknya mendapati tiada masalah berhubung proses itu.
Dalam hal itu, katanya, Kementerian Kewangan sememangnya mempunyai kuasa memikirkan dan menentukan siapa sepatutnya diberikan tawaran atau diluluskan permohonan mereka.
“Kita lalui prosedur ditetapkan, tiada masalah dan tidak boleh katakan mesti ikut senarai diangkat JKR Sabah sebab Kementerian Kewangan yang ada kuasa mutlak menentukannya,” katanya.