Pekerja batik miliki kerambit dipenjara 5 tahun, 1 sebatan

Pekerja batik miliki kerambit dipenjara 5 tahun, 1 sebatan

Tertuduh turut mengaku bersalah gagal mengemukakan kad pengenalan diri.

prison
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara lima tahun dengan satu sebatan bagi pertuduhan memiliki kerambit dan penjara tiga bulan bagi pertuduhan gagal mengemukakan kad pengenalan diri berjalan serentak. (Gambar fail)
KOTA BHARU:
Seorang pekerja kilang batik dijatuhkan hukuman penjara lima tahun serta satu sebatan kerana memiliki kerambit dan gagal mengemukakan kad pengenalan diri.

Muhamad Azim Rafiq Mohamed Nor, 30, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di depan Hakim Mahkamah Sesyen, Zulkifli Abllah.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara lima tahun dengan satu sebatan bagi pertuduhan pertama serta penjara tiga bulan bagi pertuduhan kedua berjalan serentak dari tarikh tangkapan 27 Sept lepas.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki sebilah kerambit berukuran 19.5cm tanpa kebenaran pihak berkuasa di tepi jalan Kampung Gajah Mati Melor, Bachok pada 5.30 petang 27 Sept lepas.

Lelaki itu didakwa bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa gagal mengemukakan kad pengenalan ketika diminta pegawai polis bertugas pada waktu dan lokasi sama mengikut Peraturan 6 (1) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang boleh dihukum bawah Peraturan 25 (1) (n) memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda hingga RM20,000.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh, manakala peguam Yayasan Bantuan Guaman Kelantan, Norzaimah Mohamad memohon hukuman ringan kerana anak guamnya menyara isteri dan tiga anak saudara yang kematian bapa dengan pendapatan RM500 sebulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.