Pecah amanah, CEO Encorp mengaku tak salah

Pecah amanah, CEO Encorp mengaku tak salah

Hazurin Harun berdepan dua pertuduhan pecah amanah melibatkan penghantaran mineral lebih RM1 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Encorp Berhad Hazurin Harun, 54, dibenar ikat jamin RM50,000 dengan sebutan semula kes pada 7 Jan depan.
SHAH ALAM:
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Encorp Berhad didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan pecah amanah lebih RM1 juta, tahun lalu.

Hazurin Harun, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Hazurin didakwa melakukan pecah amanah dengan membuat pembayaran RM350,000 menerusi cek Encorp Berhad kepada syarikat LMC Mining Sdn Bhd bagi penghantaran 20,000 tan metrik mineral kaolin dari sebuah tapak perlombongan di Perak secara berperingkat, sedangkan pembayaran itu sepatutnya untuk penghantaran silika kuarza pada 21 Jun 2023.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan pecah amanah RM700,000 kepada syarikat sama menerusi pindahan dalam talian ke akaun bank syarikat itu bagi tempahan dari Pelabuhan Lumut, Perak ke Nantong, China dan sewaan kapal untuk menghantar pasir silika secara berperingkat dari tapak perlombongan sama, sedangkan ia adalah untuk pembayaran penghantaran silika kuarza.

Kedua-dua kesalahan dilakukan di cawangan sebuah bank di Dataran Sunway, Petaling Jaya.

Pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muaz Ahmad Khairuddin memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan, selain syarat tambahan melaporkan diri ke pejabat SPRM serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Aizul Rohan Anuar mewakili Hazurin tidak membantah permohonan itu.

Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin RM50,000 dan semua syarat tambahan dipohon serta menetapkan sebutan semula pada 7 Jan depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.