
Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Majlis Profesor Negara (MPN), Anuar Ahmad, berkata beliau yakin ‘pelbagai huru-hara’ berhubung pemansuhan peperiksaan itu dapat diselesaikan dengan data empirikal kajian berkenaan.
“UPSR telah dimansuh pada 2021. Maksudnya, sudah lebih tiga tahun pemansuhan itu berlaku. Sepatutnya laporan kajian tersebut telah dibentangkan kepada rakyat, ataupun sekurang-kurangnya telah dibawa ke sidang Parlimen.
“Jika kajian belum dibuat, mengapa tidak dilakukan? katanya di Facebook.
Anuar berkata, rakyat ingin tahu sama ada keputusan mansuh UPSR dan PT3 itu meningkatkan motivasi pembelajaran anak-anak atau sebaliknya.
Katanya, data empirikal melibatkan 100 hingga 200 murid sebagai sampel kajian tidak akan menjelaskan situasi sebenar.
“Bagaimana pula pandangan ribuan guru terhadap pemansuhan itu? Apakah keberkesanan pengajaran mereka telah meningkat atau menjadi makin sukar sebaliknya? Adakah ibu bapa turut gembira dengan kaedah pentaksiran bilik darjah (PBD) yang menggantikan UPSR dan PT3?” soalnya.
September lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata buat masa ini kerajaan kekal dengan keputusan terdahulu untuk memansuhkan UPSR dan PT3.
Ini selepas desakan beberapa pihak agar peperiksaan tersebut dikembalikan atas alasan ia membantu aspek kemenjadian murid dan mendakwa ketiadaannya menyumbang keciciran pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
UPSR dimansuhkan pada 2021, manakala PT3 dibatalkan tahun sama, sebelum dimansuh pada 2022, dan digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).