Malaysia, Singapura meterai MoU kerjasama tangani jenayah rentas sempadan

Malaysia, Singapura meterai MoU kerjasama tangani jenayah rentas sempadan

MoU itu membaharui kerjasama rentas sempadan sedia ada, dengan tambahan elemen jenayah siber, sesuai dengan trend semasa.

scammers
Dalam MoU yang dimeterai Malaysia dan Singapura hari ini, elemen jenayah siber turut ditambah bagi memperhebat kerjasama menangani jenayah rentas sempadan.
PETALING JAYA:
Malaysia dan Singapura menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini untuk memperhebat usaha membanteras jenayah rentas sempadan seperti pemerdagangan orang, penyeludupan dadah dan jenayah siber.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan, MoU Mengenai Kerjasama Dalam Mencegah dan Menangani Jenayah Rentas Sempadan itu ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Ehwal Dalam Negeri dan Undang-Undang Singapura K Shanmugam di Singapura.

Bernama melaporkan Saifuddin berkata semalam, MoU itu membaharui kerjasama rentas sempadan sedia ada antara kedua-dua negara, dengan menambah elemen jenayah siber, sesuai dengan trend semasa.

Menurut KDN, ketika pertemuan, kedua-dua menteri itu turut membincangkan kepentingan kerjasama keselamatan dua hala yang menyeluruh antara Malaysia dan Singapura, khususnya dalam aspek pengurusan jenayah rentas sempadan serta bidang keimigresenan dan kepolisan.

Sementara itu, Saifuddin Nasution bersama delegasi Malaysia turut menerima taklimat daripada Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura serta mengadakan lawatan ke Pusat Pemeriksaan Woodlands.

“Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan berkenaan sistem kawalan sempadan Singapura, khususnya melalui penggunaan teknologi terkini bagi menguruskan aliran lalu lintas rentas sempadan dengan lebih cekap dan teratur,” menurut KDN dalam kenyataan.

Seluruh delegasi Malaysia turut melawat ke Pusat Antipenipuan (ASC) Singapura dan Interpol Cybercrime Directorate untuk memahami pendekatan serta teknologi yang dimanfaatkan dalam usaha membanteras aktiviti penipuan dalam talian.

Turut serta dalam lawatan delegasi yang pulang hari ini ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN Makhzan Mahyuddin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.