
Bagaimanapun tertuduh, Muhammad Ghazalyi Othman, 54, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Bicara Nurul Fadhlina Che Daud selepas pertuduhan dibacakan, menurut Berita Harian.
Berdasarkan pertuduhan, dia didapati mengajar agama berkenaan tauhid kepada pelajar madrasah di Kampung Senama Hilir, di sini, tanpa tauliah daripada Jawatankuasa Tauliah yang ditubuhkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara penghujung 2022 hingga September 2024.
Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 53 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 pindaan 2009 iaitu mengajar agama tanpa tauliah yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie Kanan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Azrul Izham Jaapar.
Mahkamah menetapkan jaminan RM2,500 dengan dua penjamin warga Malaysia yang menetap di Negeri Sembilan serta tarikh bicara pada 16 Januari depan.
Kelmarin, tertuduh turut dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah, Seremban atas dakwaan mengamalkan zikir Aurad Muhammadiah yang bertentangan dengan hukum syarak.
Bagaimanapun, Muhammad Ghazalyi mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Syarie Zulfikri Yasoa selepas pertuduhan dibacakan.