Kes buli UPNM hanya meningkat tahun ini, kata Khaled

Kes buli UPNM hanya meningkat tahun ini, kata Khaled

Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata pada 2022 dan 2023 hanya satu kes buli dilaporkan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Khaled Nordin
Menteri Pertahanan, Khaled Nordin berkata tindakan segera diambil termasuk menambah pegawai dan anggota lain-lain pangkat di UPNM untuk mencegah kejadian buli daripada berlaku.
KUALA LUMPUR:
Kes buli dalam kalangan pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hanya meningkat pada tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya, kata Menteri Pertahanan, Khaled Nordin.

Khaled berkata, kementerian juga mengambil beberapa langkah segera untuk memastikan kes buli tidak berulang lagi selepas ini.

“Kalau tengok 2022, hanya ada satu kes, 2023 ada satu kes, yang penting adalah kita perlu memastikan agar perkara ini tidak berlaku lagi, tidak ada kadet senior yang bertindak menggunakan kekerasan, buli junior dan sebagainya.

“Apa yang kita akan lakukan adalah, kita dedahkan (kepada pelajar) mengenai bentuk kesalahan, hukuman berat akan dikenakan, keseriusan kesalahan bersubahat atau mana-mana pihak yang menyembunyikan kesalahan yang berlaku,” katanya yang menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Khaled tidak mendedahkan berapa jumlah kes buli yang dilaporkan berlaku di ALK UPNM pada tahun ini.

Terdahulu, Onn bertanya adakah kementerian menyediakan program pemulihan sokongan dan psikologi di institusi pertahanan dan sejauh mana keberkesanannya.

Mengenai kes buli yang berlaku ALK UPNM, Khaled berkata pihaknya sudah mempunyai keputusan mengenai tindakan terhadap individu yang terlibat dan hanya menunggu pengesahan daripada Majlis Angkatan Tentera.

Katanya, pihaknya juga mengambil tindakan segera termasuk menambah pegawai daripada 31 kepada 48 orang dan anggota lain-lain pangkat dari 124 kepada 182 dalam usaha memastikan isu buli tidak berulang.

Pada 8 Nov lalu, seorang pegawai kadet ALK UPNM mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan seterika terhadap rakan sekelasnya, bulan lalu.

Dalam satu lagi kejadian pada 10 Nov lalu, polis menerima satu laporan seorang pelajar Tahun 1 berumur 19 tahun di UPNM mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak seorang pelatih Tahun 3.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.