
Zaid Ibrahim berkata prinsip ‘effectivités’ yang menjadi andalan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam pertikaian antara Malaysia dan Singapura berhubung Batu Puteh boleh beri kesan pada tuntutan Sarawak ke atas sumber yang terdapat di pelantar benua di luar pantainya.
“Istilah ‘effectivités’ merujuk kepada pelaksanaan kuasa hakiki, biasanya dalam bentuk pentadbiran atau kawalan ke atas sesuatu wilayah, berbanding hanya membuat tuntutan undang-undang ke atasnya.
“Ia mempertimbangkan sama ada sesebuah kerajaan itu telah melaksanakan dan memaparkan fungsi-fungsinya secara hakiki, berterusan dan aman di wilayah berkenaan,” katanya.
Zaid berkata prinsip itu sering digunakan dalam pertikaian kedaulatan membabitkan hak milik yang samar-samar atau dipertikaikan.
Beliau berkata penghakiman ICJ mengakui bahawa dari segi sejarah Batu Puteh milik kesultanan Johor.
“Bagaimanapun, Singapura melakukan pelbagai tindakan di pulau itu, termasuk memasang Rumah Api Horsburgh pada 1851, dan secara aktif mengurus dan menjalankan rondaan tentera laut di kawasan itu sejak itu.
“Malaysia tidak membantah mahupun mengambil sebarang tindakan untuk memperlihatkan kedaulatannya ke atas pulau itu. ICJ mengambil perkara ini sebagai bermakna Malaysia secara tersirat akur pada kedaulatan Singapura,” kata Zaid kepada FMT.
Zaid berkata sesebuah mahkamah juga mungkin menganggap Sarawak pada hakikatnya bersetuju, atau sekurang-kurangnya secara tersirat akur, pada Petronas memiliki dan mengawal semua sumber O&G di darat dan luar pesisir berdasarkan pelbagai tindakannya.
“Sarawak tidak mempertikaikan kesahan Akta Pelantar Benua 1966 atau Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) untuk tempoh yang lama. Selain itu, Rahman Ya’kub (ketua menteri Sarawak ketika itu) dikatakan banyak terlibat dalam rundingan yang membawa kepada PDA diluluskan.
“Ahli Parlimen Sarawak juga mengambil bahagian dalam perbincangan di Parlimen dan juga mengundi untuk meluluskan rang undang-undang itu menjadi undang-undang,” katanya.
Zaid juga berkata Sarawak menandatangani perjanjian royalti dan menikmati pembayaran di bawah perjanjian itu selama 50 tahun.
“Mahkamah barangkali akan pertimbangkan perkara-perkara ini jika ada semakan.
“Sarawak mungkin dihalang daripada menafikan kesahan undang-undang yang telah diluluskan itu dan kedudukan sempadannya,” kata Zaid, yang berkhidmat sebagai peguam selama lebih 45 tahun dan bekas rakan kongsi di firma guaman terbesar di Malaysia.
Zaid, yang juga seorang ahli politik veteran dan lantang menyuarakan isu sosial dan perlembagaan, berkata pertikaian antara Putrajaya dan Sarawak boleh disifatkan sebagai dalam bidang undang-undang antarabangsa awam.
“Ini adalah pendirian yang diambil di Komanwel Australia, yang juga mempunyai sistem kerajaan persekutuan,” katanya.
Sarawak baru-baru ini menuntut semua sumber O&G di pelantar benua di luar pantainya, berdasarkan suatu perintah penjajah yang dikeluarkan oleh Ratu Elizabeth II pada 1954.
Negeri itu mendakwa ‘Sarawak (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954’ meluaskan sempadannya sejauh 200 batu nautika meliputi dasar laut dan bawah tanah di laut lepas, bersebelahan perairan wilayahnya.
Kerajaan Sarawak juga meminta syarikat minyak milik kerajaan negeri iaitu Petroleum Sarawak (Petros) mengambil alih peranan agregator gas di negeri itu daripada Petronas.
Pada Ahad, Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata beliau bersedia ke mahkamah jika mana-mana pihak tidak menghormati hak Petros untuk menjadi agregator gas tunggal di negeri itu.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah mempertikaikan dakwaan Sarawak, mengatakan bahawa hak ke atas semua sumber tenaga di darat dan luar pesisir adalah milik Petronas di bawah PDA.
Petronas dan Sarawak sedang berbincang mengenai penyelesaian kepada pertikaian itu.