

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, isu itu bukanlah baharu, tetapi semakin meruncing sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila negeri itu kerap mengalami penurunan voltan atau dikenali sebagai ‘brownout’ disebabkan permintaan yang terlalu tinggi
“Mungkin masalah yang telah begitu lama membelenggu Sabah ini patut ditangani sebelum PRN akan datang supaya tidak meruap sehingga menjejaskan keadaan dari segi politik,” katanya kepada FMT
Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah berkata, isu itu mampu menjadi masalah besar untuk kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan kerajaan perpaduan persekutuan, kerana pengundi mungkin melihat kegagalan mereka menangani isu itu sebagai tanda kelemahan tadbir urus.

Katanya, ini mungkin mengakibatkan mereka mengundi untuk perubahan pada PRN akan datang, walaupun ini mungkin bergantung kepada pakatan-pakatan yang dibentuk sebelum proses pemilihan.
Walaupun Putrajaya telah memberi autonomi kepada Sabah untuk menyelaraskan bekalan elektrik sendiri, Bilcher berkata, negeri itu masih memerlukan bantuan persekutuan dari segi kewangan.
Katanya, terus membantu Sabah dalam isu ini akan menunjukkan komitmen kerajaan perpaduan terhadap kesejahteraan rakyat Sabah.
“Sebaliknya, kegagalan (membantu Sabah) akan membuatkan pembangkang (Perikatan Nasional) mempertikai kecekapan kerajaan persekutuan.
“Putrajaya perlu menangani isu ini dengan bijaksana. Kegagalan berbuat demikian akan menjejaskan kerjasama politik antara parti Sabah dan kebangsaan, dan ini seterusnya mampu menjejaskan kestabilan politik negara,” katanya.
Pengerusi Sabah Electricity Wilfred Madius Tangau telah merayu kepada Kementerian Kewangan untuk mengekalkan subsidi elektrik sebanyak RM866 juta untuk syarikat utiliti itu.
Suruhanjaya Tenaga Sabah memaklumkan Tangau yang juga Ahli Parlimen parti komponen Pakatan Harapan, Upko, bahawa subsidi itu mungkin dihentikan tahun ini akibat kekangan kewangan.
Tangau berkata, memandangkan dana yang diperuntukkan dalam belanjawan persekutuan 2025 untuk mensubsidi operasi Sabah Electricity nampaknya tidak mencukupi, negeri itu berkemungkinan mengalami terputus bekalan elektrik pada Januari.
Sabtu lalu, Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Kunak, Semporna, Lahad Datu dan Tawau terputus bekalan elektrik selama beberapa jam. Ini turut membawa kepada gangguan bekalan air apabila loji rawatan air di kawasan terjejas tidak dapat beroperasi.
Bilcher berkata, isu itu secara langsung memberi kesan terhadap kehidupan semua rakyat Sabah dan mungkin menjejaskan kepercayaan mereka terhadap kecekapan dan kewibawaan kerajaan-kerajaan negeri serta persekutuan.
Katanya, ini boleh digunakan pembangkang untuk mengeksploit isu demi meraih undi.
“Kerajaan negeri GRS-Pakatan Harapan akan dilihat gagal melobi atau bekerjasama dengan Putrajaya secara berkesan. Jadi sejauh mana besarnya isu ini bergantung kepada cara kedua-dua kerajaan bertindak balas terhadapnya.
“Jika mereka dapat menunjukkan mengambil langkah konkrit bagi menyelesaikannya sebelum PRN, atau sebelum PRU16 sekalipun, mereka dapat mengurangkan sentimen negatif dalam kalangan pengundi.”
Katanya, menghentikan subsidi elektrik mampu lebih meluapkan sentimen ‘Sabah first’ dalam kalangan pemimpin dan rakyat Sabah, yang mungkin memanfaatkan parti tempatan.