
Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Nooh Gadut, berkata sesuatu tauliah atau lantikan yang membenarkan amil atau ejen mengutip zakat di luar sempadan negeri tidak sah mengikut hukum syarak serta bercanggah undang-undang berkaitan zakat yang berkuat kuasa di negeri.
Menurutnya, perkara itu antara empat keputusan dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI kali ke-125 berhubung hukum kutipan zakat di negeri lain yang bersidang pada 24 hingga 26 Sept lepas.
Beliau berkata, perkara lain yang dipersetujui melalui mesyuarat itu ialah hukum memindahkan hasil kutipan zakat oleh individu atau organisasi dilantik atau diberikan tauliah sebagai amil atau ejen zakat di mana-mana Main ke negeri lain tidak sah.
“Ia bercanggah dengan peruntukan undang-undang berkaitan zakat negeri kerana tempat zakat itu dikutip berada di luar sempadan negeri dan bidang kuasa Main yang mengeluarkan tauliah terbabit serta bertentangan syarat yang membenarkan zakat dipindahkan mengikut hukum syarak,” katanya dalam kenyataan.
Nooh berkata, mesyuarat turut berpandangan hukum mengembalikan sebahagian hasil kutipan zakat kepada individu atau organisasi menjalankan tugas sebagai amil atau ejen zakat atas prinsip upah sedangkan zakat dikutip di luar dari sempadan negeri yang mengeluarkan tauliah tidak sah.
“Mengikut hukum syarak, ia tidak sah kerana mereka tidak dianggap amil di negeri berkenaan (di luar Main).”
Menurutnya, perkara lain yang dipersetujui ialah hukum membayar zakat kepada pihak tidak dilantik amil atau ejen zakat untuk negeri terbabit tidak sah.
Katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang juga badan penyelaras MKI sudah menyembah maklum semua pandangan itu kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah selaku pengerusi MKI, seterusnya dibawa ke mesyuarat Majlis Raja-raja ke-267 pada 23 dan 24 Okt lepas.
“Dalam hal ini, majlis mengambil maklum pandangan hukum yang telah dipersetujui dan pihak berkuasa negeri boleh mempertimbangkan keputusan ini bagi tujuan pewartaan fatwa di negeri masing-masing.”