
Menurutnya, pemberi maklumat perlu mengikut prosedur betul untuk mendapat perlindungan bawah akta itu.
“Saya rasa kita perlu lihat perkara ini dari dua aspek. Jika seseorang lakukan sesuatu yang salah, maka apa yang Perdana Menteri, Anwar Ibrahim katakan betul,” katanya merujuk kenyataan Anwar berhubung individu terbabit rasuah tidak boleh mengharapkan perlindungan bawah akta itu.
“Apabila kita bercakap mengenai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, jika sesiapa merasakan ada salah laku, mereka perlu lapor kepada agensi terlebih dahulu. Dalam kes ini (berhubung Adun Sabah), agensi berkaitan ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
“Kita tidak boleh berada dalam situasi kita ada maklumat, tetapi tidak lapor kepada agensi. Agensi adalah pihak memutuskan siapa layak dapat perlindungan,” katanya di luar “Kuala Lumpur Forum on International Arbitration 2024” di sini.
Semalam, Anwar dilaporkan berkata, pemberi maklumat tidak boleh mengharapkan perlindungan jika mereka terbabit rasuah, khasnya kes membabitkan lapan Adun.
Menurutnya, SPRM perlu diberi ruang untuk menyiasat dan dasar kerajaan jelas: perlindungan hanya untuk mereka yang bersih dan tidak terbabit unsur rasuah.
Jumaat lalu, seorang pegawai kanan SPRM dilaporkan menemui peguam yang memainkan rakaman audio 17 saat kepadanya, di mana beberapa individu didengar membincangkan perkara membabitkan wang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata peguam terbabit memaklumkan anak guamnya sedia memberi keterangan, tetapi mahu agensi antirasuah itu menandatangani perjanjian menyatakan anak guamnya tidak akan disiasat.
Azam berkata, SPRM tidak boleh memberi jaminan imuniti secara bertulis tanpa maklumat terperinci mengenai salah laku itu dan menggesa saksi terbabit membuat laporan rasmi untuk dilindungi bawah akta berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Azalina menolak dakwaan peguam utama mewakili kumpulan Sulu, Paul Cohen semalam bahawa kemenangan Malaysia di Mahkamah Agung Perancis sebagai keputusan “makan diri” dan anak guamnya kini bebas mengambil tindakan terhadap Sabah, termasuk memajak Sabah kepada negara lain.
“Kita ada Cobbold Commission dan referendum, jadi beliau (Cohen) cakap benda-benda yang pada saya tidak masuk akal, tetapi sebagai peguam, beliau ada hak. Kalau beliau rasa anak guamnya ada hak, itu kata dia.
“Jawapan saya – cubalah, kita akan lawan,” katanya sambil menambah Malaysia negara berdaulat dan merdeka, serta Sabah sebahagian daripada negara ini.