RM12.8 bilion wang tak dituntut setakat 31 Okt

RM12.8 bilion wang tak dituntut setakat 31 Okt

Kerajaan akan teliti cadangan pengesanan pemilik atau waris guna data JPN agar wang dapat dikreditkan ke dalam akaun.

Amir Hamzah Azizan
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan, berkata RM4.2 bilion daripada RM17 bilion wang tidak dituntut sudah diserahkan kepada empunya berhak. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sejumlah RM17 bilion wang tidak dituntut (WTD) diserahkan syarikat dan firma kepada Jabatan Akauntan Negara dengan RM4.2 bilion daripada jumlah itu telah dituntut empunya berhak, setakat 31 Okt.

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, berkata ini menjadikan baki WTD yang masih tidak dituntut berjumlah RM12.8 bilion.

Beliau berkata, sejak 2022, Jabatan Akauntan Negara membuka 184 reruai di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran dan menggalakkan orang awam membuat tuntutan WTD.

Amir Hamzah berkata, pihaknya juga akan meneliti cadangan untuk kerajaan melakukan pengesanan pemilik atau waris menggunakan data terkini di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) supaya wang berkenaan dapat dikreditkan terus ke dalam akaun mereka.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan persekutuan bersedia mempertimbangkan cadangan kerajaan Kelantan dan Terengganu berhubung program dan projek yang boleh dibiayai menerusi pemberian wang ihsan terutama dalam usaha mengurangkan kemiskinan dan menambah baik infrastruktur asas.

Beliau berkata, kerajaan persekutuan sememangnya memberikan peruntukan pembiayaan untuk projek pembangunan kepada kedua-dua negeri itu yang disalurkan melalui kementerian.

“Ia antaranya merangkumi pelaksanaan projek Lebuh Raya Central Spine Road dan pembinaan loji rawatan air di Kelantan, pembinaan hospital di Terengganu, jalan perhubungan serta menaik taraf sekolah di luar bandar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.