Polis tembak mati 4 penjenayah warga Vietnam

Polis tembak mati 4 penjenayah warga Vietnam

Polis berkata kumpulan itu yang aktif melakukan jenayah pecah rumah terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan di sebuah residensi mewah di Jalan Imbi.

garisan polis
Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa berkata kumpulan itu aktif melakukan jenayah pecah rumah, pejabat sebelum menebuk peti besi sejak 2018 membabitkan kerugian RM4.3 juta.
PETALING JAYA:
Polis menembak mati empat penjenayah warga Vietnam yang disyaki terbabit dalam 44 kes pecah rumah dan menebuk peti besi dalam satu kejadian tembak-menembak di Jalan Imbi, Bukit Bintang, malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa berkata sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Kuala Lumpur menyerbu unit kediaman di tingkat 17, sebuah residensi mewah pada jam 11.30 malam tadi, lapor Berita Harian.

“Ketika proses melakukan tangkapan cuba dibuat, suspek melepaskan tembakan secara tiba-tiba sehingga berlaku situasi berbalas tembakan dan dalam usaha mempertahankan diri, polis dapat menembak mati semua mereka.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek bersenjatakan dua parang dan dua pistol yang digunakan untuk menyerang polis,” katanya.

Rusdi berkata kumpulan itu yang dipercayai sering keluar masuk ke negara ini aktif melakukan jenayah pecah rumah dan pejabat sebelum menebuk peti besi di premis berkenaan sejak 2018 membabitkan kerugian RM4.3 juta.

“Kali terakhir suspek dilaporkan melakukan jenayah, terbaru dua hari lalu di Sri Hartamas, sebelum kembali menyembunyikan diri di lokasi yang diserbu malam ini.

“Kita juga percaya mereka ini menjadikan unit kediaman mewah di sini sebagai tempat perancangan jenayah, berehat serta menyembunyikan diri,” katanya.

Katanya, semua suspek yang mempunyai pasport ini sangat bahaya dan sangat sukar untuk dikesan kerana kelicikan mereka.

Tambahnya, siasatan lanjut kini sedang diteruskan bagi mengesan saki-baki kumpulan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.