Pemberi maklumat Adun rasuah dakwa diugut bunuh, Bukit Aman siasat

Pemberi maklumat Adun rasuah dakwa diugut bunuh, Bukit Aman siasat

Ketua Polis Negara Razarudin Hussain berkata kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

raza
Razarudin Husain berkata, mangsa bekerja sebagai kontraktor pembinaan menerima ugutan bunuh menerusi WhatsApp, pada Isnin.
PETALING JAYA:
Pemberi maklumat skandal rasuah terkait beberapa Adun di sebuah negeri mendakwa diugut bunuh, termasuk menerima dua keping gambar pistol selain tertera gambar orang ditembak, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Katanya, ancaman berkenaan diterima menerusi aplikasi WhatsApp, pada Isnin, apabila seorang lelaki menghubungi mangsa berusia 36 tahun pada 11.06 malam selama 16 saat, membawa kepada penyiasatan polis.

Beliau berkata, mangsa bekerja sebagai kontraktor pembinaan menerima panggilan itu di sebuah restoran di Kuala Lumpur.

“Seorang lelaki menghubungi mangsa selama 16 saat mengugutnya dan mendakwa daripada kumpulan pembunuh upahan.

“Suspek mendakwa menerima arahan untuk membunuh mangsa dalam tempoh 24 jam jika dia enggan menutup mulut berkaitan isu rasuah terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.

Bimbang keselamatan diri, Razarudin berkata, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Sentul dengan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan. Kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Sebelum ini, dilaporkan pemberi maklumat memberikan kepada Malaysiakini lapan video menunjukkan perbincangan antara seorang ahli perniagaan dan beberapa Adun berkait rasuah bagi lesen projek.

Pegawai kanan SPRM telah bertemu dengan peguam pemberi maklumat, yang memainkan klip audio 17 saat melibatkan beberapa individu bercakap tentang wang kepada pegawai itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dipetik sebagai berkata, peguam tersebut membayangkan anak guamnya bersedia memberikan keterangan, namun ingin persetujuan bahawa anak guamnya tidak disiasat.

Skandal itu dilaporkan berlaku di Sabah melibatkan lapan Adun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.