Pemandu Ativa angkat Zaharif dalam keadaan marah, kata saksi

Pemandu Ativa angkat Zaharif dalam keadaan marah, kata saksi

Sebelum kejadian saksi nampak kereta dipandu pegawai kanan polis itu kejar dan langgar motosikal mangsa.

Mohd Nazri Abdul Razak berpangkat DSP didakwa membunuh Muhammad Zaharif, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati, pada 15 Dis 2023. (Gambar Bernama)
IPOH:
Remaja lelaki memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pegawai kanan polis, Mohd Nazri Abdul Razak, mengangkat Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie ke bahu jalan selepas perlanggaran berlaku.

Saksi pendakwaan ke-11 itu, berkata dia melihat pemandu (Nazri) yang turun dari kereta jenis Perodua Ativa seolah-olah dalam keadaan marah berdasarkan tindakan serta pergerakan tangannya.

Bagaimanapun, remaja itu berkata, dia tidak dapat mendengar apa dikatakan pemandu tersebut kerana sepanjang kejadian berada di bahu jalan berdekatan simpang tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati.

“Saya hanya bergerak ke bahu jalan di tempat mangsa diangkat selepas perlanggaran setelah pemandu kereta Ativa beredar dari tempat kejadian.

“Saya dapat perasan kejadian itu kerana bunyi motosikal Zaharif yang kuat. Saya fokus pada kejadian dan dapat melihat kereta itu mengejar dan melanggar motosikal Zaharif,” kata saksi itu.

Remaja itu berkata demikian ketika membaca pernyataan bertulisnya di hadapan Hakim Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet pada perbicaraan kes Nazri yang didakwa membunuh Zaharif, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati, antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, pada 15 Dis 2023.

Menceritakan kejadian itu, remaja berkenaan berkata, sebelum perlanggaran berlaku, beliau nampak Zaharif memperlahankan motosikal seperti mahu membelok ke kanan di kawasan jalan raya berdekatan dengan tempatnya berada iaitu di bahu jalan.

Katanya, beliau tidak perasan jika Zaharif ada memberikan isyarat atau tidak, namun nampak motosikal mangsa berada dekat garis putih pembahagi jalan, tetapi masih belum masuk ke arah jalan bertentangan, manakala pemegang motosikal mangsa sudah bergerak ke arah kanan.

“Saya melihat kereta Ativa tersebut telah melanggar bahagian lampu belakang motosikal Zaharif dengan bumper bahagian tengah kereta. Zaharif jatuh daripada motosikal dan motosikalnya telah terseret ke arah hadapan kereta Ativa,” kata remaja itu.

Saksi itu berkata, kereta Ativa tersebut seterusnya menggilis mangsa.

Menurut saksi itu, sebelum perlanggaran berlaku tiada sebarang bunyi hon daripada kereta Ativa berkenaan atau tanda-tanda kenderaan itu menekan brek.

Dalam pada itu, saksi juga memaklumkan dia menyedari kejadian tersebut kerana bunyi motosikal Zaharif yang kuat dan dapat fokus pada kejadian serta melihat insiden kereta itu mengejar dan melanggar motosikal mangsa.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, saksi berkata beliau tidak dapat membuat pengecaman wajah pemandu Ativa, namun mengesahkan pemandu terbabit seorang lelaki.

Saksi turut memberitahu mahkamah bahawa sewaktu kejadian, beliau tidak mengetahui bahawa pemandu Ativa adalah seorang pegawai polis, namun sehari selepas kejadian rakannya telah memaklumkan identiti lelaki terbabit.

Perbicaraan bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.