Nahas dihempap kontena, wanita maut tersepit

Nahas dihempap kontena, wanita maut tersepit

Seorang lelaki pula cedera parah dalam kemalangan lima kenderaan di Jalan Bukit Tengah, Bukit Mertajam, hari ini.

Bomba mengambil masa kira-kira setengah jam mengeluarkan mayat wanita dalam kereta dihempap kontena. (Gambar Bomba)
BUKIT MERTAJAM:
Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya dihempap kontena terjatuh daripada treler dalam nahas membabitkan lima kenderaan di Jalan Bukit Tengah, hari ini.

Lee Zi Rou, 21, yang memandu kereta Perodua Bezza disahkan maut di lokasi kejadian manakala pemandu Honda Jazz Tan Chou Theng, 25, cedera.

Komander Operasi Bomba Pulau Pinang Nor Azamuddin Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.31 pagi membabitkan kemalangan lima kereta.

Menurutnya, dua mangsa didapati tersepit akibat dihempap kontena terjatuh daripada treler berkenaan, namun seorang daripadanya berjaya dikeluarkan dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Katanya, bomba menggunakan peralatan khas dan mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan mangsa wanita disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah.

“Kerja-kerja mengalihkan kontena yang terjatuh dibantu dua kren dan kemalangan telah menyebabkan kesesakan teruk di lokasi kejadian,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa rakaman video kejadian itu yang memaparkan sebuah treler membawa kontena dari arah Bukit Tengah menghala ke Bukit Minyak itu.

Video itu menunjukkan kontena terbabit terjatuh dan menghempap beberapa kenderaan di laluan bertentangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.