
Menterinya, Dzulkefly Ahmad berkata, setakat ini kos rawatan ditanggung kerajaan bagi penyakit Evali dianggarkan RM150,892.11 bagi setiap pesakit yang dimasukkan ke hospital selama 12 hari.
“Bermula tahun 2019, sehingga 30 Sept 2024, sebanyak 41 kes Evali dilaporkan ke KKM.
“Selain Evali, notifikasi kejadian akibat pendedahan kepada cecair rokok elektronik atau vape yang diterima oleh Pusat Racun Negara telah mencatatkan sebanyak 111 kes dari tahun 2015 hingga 2023,” katanya menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Alias Razak (PN-Kuala Nerus) yang meminta menteri menyatakan statistik penyakit baharu, Evali dan kos rawatan yang terpaksa ditanggung Kerajaan daripada 2020 hingga 2024.
Evali adalah satu penyakit berkaitan kerosakan pada dinding salur pernafasan dalam paru-paru akibat penggunaan rokok elektronik.
Sehubungan itu, Dzulkefly berkata, pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, yang berkuat kuasa sejak 1 Okt, diharap mampu membendung penggunaan rokok elektronik dan vape, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Menurutnya, langkah ini bukan sahaja bertujuan melindungi golongan muda daripada pengaruh rokok elektronik, tetapi juga mengurangkan beban kos rawatan ditanggung kerajaan di masa hadapan.
“Akta ini meliputi larangan ketat terhadap pengiklanan, promosi, tajaan, serta penjualan produk rokok elektronik kepada golongan bawah umur,” tambahnya.