
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata sebarang keputusan mengenai kes itu hanya boleh diputuskan oleh TPR, lapor Sinar Harian.
“Kami akan membincangkan tindakan seterusnya dengan pihak TPR dan bagaimana pemergian Daim berkemungkinan boleh menjejaskan pendakwaan dilakukan.
“Untuk itu, hanya TPR boleh memutuskan bagaimana untuk meneruskannya dan kami di SPRM hanya bertanggungjawab untuk menyiasat,” katanya.
Menurut Azam, perkara tersebut kemungkinan mengambil sedikit masa sekurang-kurangnya satu atau dua minggu.
Daim meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Assunta pada usia 86 tahun.
Keluarga Daim dalam kenyataan berkata bekas bendahari agung Umno itu meninggal dunia pada 8.21 pagi tadi.
Awal tahun ini, Daim dan isteri Naimah Khalid didakwa di mahkamah atas tuduhan gagal mematuhi terma notis perisytiharan harta dikeluarkan bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009.
Beliau dituduh tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Bulan lalu, Mahkamah Sesyen mengarahkan Daim hadir pada perbicaraan yang diteruskan untuk menentukan sama ada beliau perlu menjalani penilaian mental bagi memastikannya layak untuk dibicarakan.
Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh 20 Nov ini untuk mendengar hujah tambahan.