
Anwar berkata, kerajaan mengiktiraf jasa dan sumbangan tokoh korporat itu kepada negara khususnya ketika menjadi menteri kewangan.
“Terima perkhabaran pemergian Tun Daim Zainuddin setibanya di Lima, Peru. Salam takziah buat keluarga Allahyarham.
“Kerajaan mengiktiraf jasa dan sumbangan beliau kepada negara terutama semasa menjadi menteri kewangan. Al-Fatihah,” katanya dalam catatan Facebook.
Daim berkhidmat sebagai menteri kewangan dua kali dilaporkan meninggal dunia pada 8.21 pagi tadi di Hospital Assunta.
Jenazah dijadual dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara 1, selepas solat Asar.
Penggal pertama berkhidmat pada 1984 hingga 1991 bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, di mana beliau memainkan peranan penting dalam menguruskan ekonomi dan melaksanakan pelarasan struktur.
Beliau kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi bawah Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia.
Awal tahun ini, Daim dan isteri Naimah Khalid didakwa di mahkamah atas tuduhan gagal mematuhi terma notis perisytiharan harta dikeluarkan bawah Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Beliau dituduh tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat, dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Bulan lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengarahkan Daim hadir pada perbicaraan yang diteruskan untuk menentukan sama ada beliau perlu menjalani penilaian mental bagi memastikannya layak untuk dibicarakan.
Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh 20 Nov mendengar hujah tambahan.