
Merujuk situasi pemilihan kerjasama antara parti giat dibincangkan kini, Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata banyak keputusan digambarkan seolah-olah telah diputuskan pimpinan di pusat.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan Umno dan PH Sabah telah membangkitkan isu autonomi yang dimilikinya untuk memberitahu pimpinan pusat bahawa mereka berhak memilih ‘rakan’ dan menentukan sendiri sesuai realiti politik tempatan.
“Jika autonomi tidak diberikan kesannya boleh melahirkan persepsi yang pemimpin negeri tidak berdaya membuat keputusan sendiri, sebaliknya bergantung pemimpin pusat.
“Persepsi ini bukan sekadar mengurangkan kepercayaan pengundi terhadap pemimpin dan parti bahkan meningkatkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengundi yang menekankan kepentingan hak dan kedaulatan Sabah,” katanya kepada FMT.
“Jadi ruang itu perlu diberi kepada pemimpin negeri untuk menentukan strategi dan menjaga keseimbangan selain meningkatkan sokongan kepada parti nasional di peringkat tempatan.”
BN, PH bangkit isu autonomi
Ahad lalu, Ketua Umno Bung Moktar Radin berkata pihaknya mempunyai autonomi dalam menentukan kerjasama PRN walaupun Presidennya Zahid Hamidi mengatakan kemungkinan wujud kerjasama dengan PH dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Bung yang secara peribadi berpendirian enggan bekerjasama dengan GRS berkata BN masih terbuka untuk membentuk ‘gabungan’ dengan parti tempatan lain menjelang PRN dijangka tahun depan.
Isu autonomi menentukan kerjasama pada PRN turut dibangkitkan PH yang disuarakan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) dan PKR Sabah.
Awal bulan ini, Ketua Penerangan PKR Sabah Razeef Rakimin dilaporkan berkata sebarang perbincangan kerjasama dengan BN atau parti lain harus dilakukan secara langsung dengan PKR Sabah, bukan melalui pimpinan pusat.
Seorang lagi penganalisis dari UMS Lee Kuok Tiung turut berpendapat pengabaian autonomi kepada pimpinan negeri parti nasional boleh menghakis kepercayaan pengundi tempatan dan menjejaskan sokongan.
Menurutnya, Umno sebelum ini telah diberikan autonomi selaras konteks politik tempatan namun wujud pandangan berbeza apabila terdapat seolah-olah pandangan pemimpin pusat lebih dominan.
“Sekiranya ada pemimpin pusat dilihat lebih dominan dalam membuat keputusan pastinya boleh menimbulkan persepsi bahawa hak autonomi tersebut tidak dihormati.
“Ini berkemungkinan menyebabkan pemimpin negeri dilihat tunduk kepada arahan pusat, seterusnya boleh mempengaruhi pandangan pengundi tempatan yang menekankan kepentingan mempertahankan hak negeri.
“Sudah pastinya ada kekhuatiran mengabaikan autonomi tersebut boleh menghakis kepercayaan pengundi tempatan dan menjejaskan sokongan terhadap parti tersebut,” katanya.
Sementara itu, Romzi Ationg turut senada hak autonomi itu perlu diangkat dan pemimpin pusat wajar mengurangkan campur tangannya bagi mengelakkan peluang mengaut undi terjejas.
“Kena lebih tegas dalam hal ini, pemimpin parti di pusat dan negeri kena memahami dan menghormati peranan satu sama lain,” kata penganalisis dari UMS itu.